Wednesday, August 24, 2011

Tempahan langsir tidak pernah surut





RUTIN bulan Ramadan bagi pasangan suami isteri, Mohamad Zaki Gering dan Norhaslinda Hassan@Atan, 35, sejak tiga tahun lalu tidak banyak berubah.
Tidak seperti pasangan berkahwin lain yang keluar bekerja setiap hari, aktiviti mereka bermula pada awal pagi. Di dalam bilik khas dalam rumah banglo setingkat pasangan itu menempatkan sebanyak empat buah mesin jahit.
Di bilik itulah, Zaki dan Norhaslinda bekerja setiap hari. Sambil memotong kain dan menjahit, pasangan itu mempunyai kelebihan berbanding pasangan lain kerana mereka dapat membesarkan sendiri anak-anak di depan mata.
Menurut Zaki yang pernah bekerja sebagai jurutera kerja menjahit langsir yang dilakukannya pada hari ini pada awalnya hanya membantu Norhaslinda. Bagaimanapun, pada hari ini, kerja sampingan untuk membantu isterinya itu bertukar menjadi kerjaya tetapnya.
“Dulu, saya hanya tolong isteri ambil ukuran langsir dan memasang langsir di rumah pelanggan tetapi disebabkan tempahan yang semakin banyak, akhirnya saya kini bekerja sebagai tukang jahit sepenuh masa,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kg. Sungai Merab Hulu, Kajang, Selangor baru-baru ini.
Tambahnya, pembahagian tugas amat penting bagi memastikan perjalanan bisnes langsir Adanis Chantek yang mereka jalankan sentiasa lancar.
“Walaupun selesa menjahit langsir, tugas itu lebih berat kepada Norhaslinda. Saya bertanggungjawab memantau tempahan di laman sosial Facebook kami dan mengambil ukuran di rumah pelanggan yang tinggal sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Senawang, Negeri Sembilan.
“Pelanggan kami bukan sahaja di sekitar bandar-bandar berdekatan tetapi juga di seluruh negara.
“Bahkan, kami pernah menerima tempahan dari Sabah dan Langkawi di mana segala urusan dilakukan secara talian,” katanya.
Norhaslinda pula memberitahu, ketika hamil anak kedua, dia mabuk teruk tetapi ketika itu banyak tempahan perlu disiapkan segera.
“Akhirnya suami terpaksa membantu saya menjahit langsir. Dia mula belajar perlahan-lahan dengan saya sehinggalah mahir pada hari ini,” katanya yang mempunyai tiga orang anak.
Musim perayaan
BERMULA daripada membantu isteri, akhirnya menjahit langsir menjadi sumber pendapatan kepada Zaki.


Menurut Norhaslinda, mereka suami isteri semakin sibuk dengan tempahan yang tidak pernah surut sepanjang tahun terutama pada musim perayaan.
“Untuk langsir baharu sempena Aidilfitri, pelanggan sudah hantar beberapa bulan sebelum Ramadan lagi, sebab ramai yang akan hantar pada musim perayaan.
“Jika mereka lambat hantar, kami terpaksa menolaknya kerana tidak sanggup melihat pelanggan kecewa sekiranya langsir yang ditempah tidak sempat disiapkan sebelum Aidilfitri,” katanya.
Bekas pegawai sains sukan itu memberitahu, walaupun pernah bekerja sebagai pegawai kerajaan, dia menjadikan pekerjaan itu sebagai batu loncatan untuk membuka perniagaan.
“Ketika bekerja dahulu, saya kumpulkan duit untuk menghadiri kursus menjahit langsir yang menelan kos sehingga RM700 untuk satu-satu kursus.
“Apabila sudah mahir, saya menjahit langsir untuk rumah sendiri terlebih dahulu sebelum mengambil tempahan,” katanya yang menawarkan lebih 15 rekaan langsir mengikut cita rasa pelanggan seperti Roman, Bamboo dan Timber Blinds.
Tambahnya, jadual mereka semakin padat sejak memasarkan perkhidmatan mereka melalui laman Facebook iaitu www.facebook.com/adanisch.antekcurtains.
Turut sibuk dengan bisnes menjahit langsir ialah pasangan suami isteri Noraini Abd. Rahman, 52, dan Zainal Mohd. Ali, 53. Kedua-duanya menjalankan perniagaan Aniza Textile and Fashion dari rumah mereka yang terletak di Taman Seri Jelok, Kajang.
Pengalaman jahit baju
Menurut Noraini, sudah tiga tahun dia menjahit langsir selepas mengikuti kursus pada tahun 2001. Pada masa yang sama, dia juga berpengalaman menjahit dan mengambil tempahan pakaian selama tiga dekad.
“Selepas lima tahun berkahwin, saya berhenti kerja dan mengambil upah menjahit baju.
FARAH menunjukkan sebahagian tempahan langsir yang sedang disiapkan.


“Kini saya mengambil upah menjahit langsir sahaja kerana ia lebih mudah berbanding menjahit baju yang memerlukan ketelitian dan lebih rumit,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Kata Noraini, dia selesa menjahit kerana selain minat yang mendalam, dia juga dapat memberi perhatian kepada lima orang anaknya kerana bekerja dari rumah.
“Dahulu, menjahit langsir memang sukar kerana rekaan langsir dahulu lebih rumit dan banyak perincian tetapi kini pelanggan lebih sukakan rekaan yang ringkas, mudah dipasang dan dibasuh,” katanya.
Begitupun, kepuasan menjahit langsir bagi Noraini adalah apabila dia mendapat pujian daripada pelanggan yang berpuas hati dengan hasil kerjanya.
“Pelanggan ni ada macam-macam jenis. Yang cerewet pun ada sehingga ada sahaja yang tidak kena dan saya perlu membuka jahitan dan menjahitnya semula.
“Tetapi, secara keseluruhannya saya gembira menjalankan bisnes ini kerana mendapat banyak maklum balas yang baik daripada pelanggan,” katanya.
Menurut Noraini, musim perayaan adalah salah satu musim paling banyak orang menghantar tempahan tetapi tempahan juga banyak di kawasan-kawasan perumahan-perumahan yang baharu dibuka.
“Rumah-rumah baharu semestinya memerlukan langsir baharu. Sehubungan itu, perniagaan menjahit langsir tidak hanya bergantung pada musim perayaan.
“Kadang-kadang bila terlalu banyak tempahan dan tidak sempat menyiapkannya, saya akan hantar langsir-langsir itu untuk dijahit oleh rakan-rakan lain yang turut mengambil upah menjahit langsir,” katanya.
Tambah Noraini, untuk sebuah rumah teres dua tingkat, kos upah membuat langsir berharga sekitar RM2,500 hingga RM3,000, bergantung kepada jenis fabrik dan rekaan langsir.
“Ada fabrik yang murah dan ada yang mahal boleh dipilih pelanggan tetapi pelanggan juga boleh membawa fabrik mereka sendiri.
“Upah menjahit sebenarnya tidaklah terlalu mahal, sekitar RM1,000 sahaja untuk sebuah rumah tetapi yang mahal adalah fabrik untuk membuat langsir itu sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, kerjaya Noraini turut disokong oleh suaminya, Zainal yang merupakan seorang pesara tentera.
“Selepas bersara, saya banyak menghabiskan masa di rumah menolong isteri sahaja terutama menguruskan blog kami iaitu anizatextile.blogspot.com dan laman Facebook kami iaitu Aniza Textile and Fashiion. (double ii)
“Saya juga ke rumah-rumah pelanggan untuk mengambil ukuran langsir tetapi kami mengupah pekerja untuk memasang langsir yang sudah siap dijahit ke rumah-rumah pelanggan,” katanya.
Menurut Zainal, stok fabrik langsir yang dibeli daripada para pembekal terutamanya di Nilai, Negeri Sembilan dan Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.
“Saya akan mengambil gambar fabrik-fabrik ini untuk dimuat naik ke laman Facebook dan blog bagi memudahkan pelanggan-pelanggan kami yang jauh untuk membuat pilihan,” katanya.

Kos [25/8/2011]

Friday, August 19, 2011

Warga Jepun amanah

 
LONDON: Penduduk Jepun memulangkan kepada pihak berkuasa kira-kira RM246 juta wang milik mangsa gempa bumi dan tsunami yang melanda negara itu awal tahun ini.
Kejujuran itu didedahkan ketika mahkamah Britain berdepan dengan longgokan kes jenayah ekoran rusuhan melanda beberapa bandar raya negara itu minggu lalu.

Dalam tempoh lima bulan sejak bencana melanda Jepun, orang ramai mengembalikan ribuan dompet dan beg tangan yang ditemui di bawah runtuhan bangunan serta kediaman.
Dianggarkan nilai wang yang ditemui daripada dompet dan beg tangan itu bernilai hampir RM148 juta.

Lebih 5,700 peti besi yang dihanyutkan ombak ke pantai juga diangkut dan diserahkan kepada polis oleh sukarelawan dan anggota penyelamat.

Hasil pemeriksaan mendapati, ada kira-kira RM98.6 juta ditemui.
Satu daripada peti keselamatan itu turut menyimpan wang bernilai hampir RM3 juta.

Selain wang tunai, peti keselamatan itu turut berisi ketulan emas, barang antik serta pelbagai barang berharga.
Menurut polis Jepun, hampir semua wang yang ditemui di kawasan paling teruk dilanda gempa bumi dan tsunami pada 11 Mac lalu dikembalikan kepada pemiliknya.

Menurut pegawai poils Miyagi, Koetsu Saiki, usaha mengesan pemilik harta itu lebih mudah kerana kebanyakan penduduk di situ menyimpan buku bank atau geran tanah yang menyatakan nama dan alamat mereka.

“Pada satu ketika, polis menerima terlalu banyak peti keselamatan sehinggakan kami sukar mencari tempat untuk menyimpannya,” katanya.

Hingga kini pun, kata Saiki, masih ada ramai yang tampil memulangkan barangan bernilai kepada polis setiap minggu.

Amalan menyimpan wang yang banyak di rumah atau pejabat bukan asing kepada masyarakat Jepun, terutama di kawasan pesisir pantai.

Di situ, kebanyakan syarikat perikanan lebih suka berurus niaga menggunakan wang tunai. - DM

p/s ; ini bukan amanah....ini SUPER AMANAH..tambah respek dgn bangsa jepun ni yg sememangnya saya respek sejak sekian lama..

Thursday, August 18, 2011

Laman cari jodoh unik istimewa

Ada orang sangat sukar mencari jodoh. Bukan kerana mereka tidak cantik atau tampan tetapi disebabkan kriteria yang diletakkan untuk pasangan mereka kadang kala terlalu sukar untuk dipenuhi.


Memanglah semua orang mahukan 'Mr Perfect' atau 'Miss Perfect' terutama pasangan yang mempunyai minat, hobi atau perangai yang sama tetapi ia memang sukar ditemui.

Bagaimanapun, kemunculan Internet membolehkan hasrat golongan sedemikian tercapai iaitu mencari pasangan yang mempunyai minat yang sama - seperti lelaki peminat alam semula jadi ingin mencari wanita juga pencinta alam, lelaki peminat bola inginkan pasangan 'kaki bola' dan sebagainya.

Bukan setakat itu, melalui beberapa laman web mencari jodoh yang unik itu, mereka yang sukakan watak zombie juga boleh mendapatkan pasangan yang 'kaki zombie'! Menarik bukan?

Pasangan DNA

Jika anda inginkan perhubungan yang hebat, kadar kesuburan tinggi dan peluang terjalinnya perhubungan jangka panjang, sebuah laman web GenePartner.com menawarkan perkhidmatan mencari pasangan berdasarkan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) anda.

Mungkin ada juga di antara kita yang sangat takut untuk memberi sampel DNA kepada orang lain kerana faktor-faktor tertentu tetapi laman web ini hanya untuk mereka yang yakin untuk memberikan sampel DNA kepada sesiapa sahaja.

Kaedah ini diperkenalkan untuk mencari pasangan serasi kerana mereka mendakwa perhubungan seseorang akan menjadi lebih menyeronokkan jika ia mempunyai kesesuaian genetik.

Penemuan itu berjaya diperoleh oleh Prof. Dr. Wedekind dari University of Bern, Switzerland yang menjalankan ujian terhadap beberapa sukarelawan wanita untuk menghidu baju T berbau yang dipakai oleh lelaki berbeza dan kemudian mengukur daya tarikan mereka.

Dalam ujian yang membabitkan kajian terhadap kod HLA (human leukocyte antigen) iaitu sebahagian daripada DNA, Wedekind mendapati kebanyakan wanita tertarik kepada bau baju T lelaki yang mempunyai DNA yang sangat berbeza daripada DNA mereka sendiri.

Selain GenePartner.com, sebuah lagi laman web yang menawarkan perkhidmatan mencari pasangan berdasarkan DNA ialah ScientificMatch.com.

"Berapa banyak perkhidmatan mencari jodoh yang boleh mencadangkan yang anda boleh mendapat anak lebih baik melalui pasangan anda?" tanya Eric Holzle, pengasas laman web tersebut.

Laman web lain yang turut menawarkan perkhidmatan serupa ialah Basisnote.com. dan www.scentoflove.com.

Pencinta alam

Sememangnya pencinta alam agak teliti dalam kehidupan mereka. Seboleh mungkin, golongan ini tidak mahu merosakkan anugerah alam kurniaan Tuhan dan mereka sanggup hidup dalam keadaan serba sederhana, semata-mata kerana cintakan alam.

Golongan itu juga sebenarnya boleh mencari pasangan yang mempunyai minat yang sama melalui laman web Greensingles.com, yang merupakan laman web mencari jodoh pencinta alam terbesar.

Melalui pergabungan dua insan yang mencintai alam, harapan mereka agar mendapat anak-anak generasi hadapan yang juga sangat cintakan alam.

Selain Greensingles.com, laman web mencari pasangan untuk pencinta alam yang lain ialah EarthwiseSingles.com dan Greenpassions.com.

Mac, muzik dan zombie!

Peminat komputer Machintosh (Mac) sememangnya unik. Jika boleh, golongan itu tidak mahu melepaskan satu pun produk keluaran Apple Inc. dan akan menyisihkan apa sahaja produk saingannya seperti dari Microsoft dan sebagainya.

Sehubungan itu, sebuah laman web http://cupidtino.com/ diperkenalkan untuk para peminat Apple yang sememangnya mempunyai persamaan dari segi personaliti, kerjaya kreatif, deria, gaya dan yang paling penting kecintaan kepada teknologi tersebut.

Bagi mereka yang ingin mencari pasangan yang mempunyai minat terhadap jenis muzik yang sama, laman web tastebuds.fm/ membolehkan anda mencari pasangan yang mempunyai minat muzik yang sama sahaja.

Bagi mereka, kegemaran terhadap muzik yang sama akan memudahkan mereka untuk menghabiskan lebih masa bersama untuk menonton konsert atau berehat di rumah dengan dialunkan muzik-muzik kegemaran.

Jika di Malaysia, mungkin kita boleh mencari pasangan yang meminati filem Zombie Kampung Pisang sebagai pengukur tahap minat seseorang terhadap watak mayat hidup atau zombie.

Bagaimanapun, beberapa laman web pencari pasangan zombie memudahkan pencarian anda itu kerana anda hanya perlu mengunjungi www.zombieconnect.com atau zombiesingles.com.

Laman web ini membolehkan anda mengayakan wajah zombie dan kemudiannya meletakkan ciri-ciri 'pasangan zombie' yang anda ingin berkenalan.

Kini anda bukan sahaja anda boleh mencari pasangan melalui minat, sikap atau rupa di laman-laman web mencari jodoh tetapi juga mencarinya mengikut ciri-ciri atau minat unik anda.

Oleh MOHD. RIDZWAN IMAN

Tuesday, August 16, 2011

Kerepek 7F ke luar negara

Usahawan kampung, Mahmudin Abas mampu meraih pendapatan kasar sehingga RM4.3 juta setahun hasil perniagaan kerepek ubi kayu dan makanan ringan lain. Apakah rahsia di sebalik kejayaan usahawan ini?





BILA sebut sahaja ubi kayu, pasti ramai generasi lama akan terkenangkan zaman 'makan ubi kayu' ketika penduduk Tanah Melayu berada di bawah penjajahan Jepun. Kesukaran mendapatkan beras ketika itu membuatkan penduduk menggantikan nasi dengan ubi kayu untuk meneruskan hidup.
Kini, ubi kayu bukan sekadar satu hidangan yang penuh nostalgia. Kepelbagaian penyediaannya dinikmati oleh generasi muda dan lebih daripada itu, industri menghasilkan kerepek ubi kayu telah mengubah hidup Mahmudin Abas, 53, dari Kampung Kanchong Darat, Banting, Kuala Langat, Selangor.
Bergelar usahawan kampung, beliau kini meraih pendapatan lumayan hanya dengan menghasilkan dan memasarkan kerepek ubi kayu. Beliau mampu meraih pendapatan kasar sehingga RM4.3 juta setahun daripada hasil perniagaan kerepek ubi kayu dan makanan ringan lain yang diusahakannya sejak tahun 1983.
Perusahaan Fazz Enterprise Kerepek House, milik Mahmudin tidak bermula dengan modal yang besar atau memaksanya membuat pinjaman bank. Semuanya dibuat secara berdikit-dikit dan perniagaan yang diusahakan secara industri kampung ini semakin meningkat dari sehari ke sehari.
Mahmudin kini boleh berbangga kerana produk kerepek ubi kayunya turut dipromosikan dan dipasarkan di Singapura; Dubai; Melbourne, Australia; Brunei dan Hong Kong.


MAKANAN ringan ini dipasarkan di bawah jenama kerepek 7F.



Kejayaan usahawan ini bukannya datang bergolek. Ia hasil kerja keras dan didorong rasa tanggungjawab untuk memberikan kehidupan yang lebih terjamin buat isteri dan tiga orang anaknya yang sedang membesar ketika itu.
Semuanya bermula selepas anak kelahiran Kampung Kanchong Darat ini memutuskan untuk berhenti kerja selepas 12 tahun berkhidmat di sebuah kilang di Petaling Jaya bagi membuka perniagaan sendiri. Menurutnya, ketika itu pendapatan sebagai pekerja kilang tidak mencukupi untuk menyara isteri dan tiga orang anak.
Bekas juru teknik itu memberitahu, beliau tidak pula menyerahkan nasibnya kepada takdir semata-mata selepas berhenti kerja.
"Isteri saya, Tuminah Kamsah banyak memberi galakan kepada saya untuk membuka perniagaan kerepek pisang tandan dan ubi kayu secara kecil-kecilan. Dapur memasak pula terdiri daripada tungku dan kayu api.
"Bermula dengan sebuah tungku, saya kemudiannya mempunyai 10 tungku. Tetapi kini, saya lebih selesa menggunakan dapur gas,'' katanya kepada Kosmo!.
Ketekunan dan kegigihan mengusahakan perniagaan kerepek ubi kayu ini kemudiannya mendapat perhatian orang ramai di sekitar kampungnya dan kampung berhampiran.
MAHMUDIN ABAS


"Daripada sebuah kuali, saya tambah dua lagi kuali besar untuk menggoreng bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat," katanya.
Usaha-usaha pemasaran dilakukannya sendiri. Tanpa perasaan segan dan malu, beliau menemui pengusaha kedai di lebuh raya, stesen minyak serta pasar raya mini untuk memasarkan kerepek ubinya.
Bagi menjamin bekalan ubi kayu yang mencukupi, Mahmudin menanam pokok ubi sendiri di tanah terbiar sekitar kediamannya. Di samping itu, beliau juga membelinya daripada pembekal-pembekal lain yang mengeluarkan ubi kayu yang bermutu tinggi.
Menurutnya, pokok ubi yang ditanam di sekitar rumahnya adalah daripada jenis yang menghasilkan ubi berwarna kuning yang sememangnya sesuai dijadikan kerepek.
"Untuk mendapatkan hasil ubi yang baik, pokok-pokok ini perlu dijaga dan dibaja. Baja yang saya gunakan ini diimport dari luar negara.
"Pokok ubi kayu mengambil masa kira-kira lapan hingga 10 bulan sebelum boleh dituai. Justeru itu, saya menanam secara berperingkat supaya bekalan ubi diperoleh sepanjang tahun," jelasnya sambil menyatakan, beliau mendapat keyakinan dan kepercayaan pembekal lain yang sentiasa menyalurkan bekalan tanpa sebarang masalah.
KILANG milik Mahmudin dilengkapi dengan mesin memotong, menggoreng dan mengering kerepek.


Tambahnya, faktor cuaca menjadi antara cabaran hebat yang perlu ditempuhi untuk menjamin bekalan mencukupi daripada pembekal.
"Persaingan semakin hebat kerana semakin ramai menceburi perniagaan makanan ringan ini. Ini ditambah pula dengan harga barangan seperti diesel, minyak masak dan plastik pembungkus yang telah meningkat," ujarnya.
Dalam pada itu, Mahmudin memberitahu, aspek pemasaran juga penting dalam perniagaan.
"Katakan, saya berjaya menghasilkan makanan yang sedap tetapi kalau saya tidak tahu memasarkannya, produk saya hanya dapat dijual di keliling kampung atau kedai runcit yang kecil sahaja.
"Tetapi kalau saya bijak memasarkannya, saya boleh boleh pergi jauh sampai ke luar negara dan alhamdulillah, kerepek keluaran syarikat saya kini boleh dinikmati masyarakat antarabangsa.
"Ini kerana hotel-hotel terkemuka di ibu kota turut menjadikan kerepek sebagai makanan ringan dalam senarai menu hariannya," ujarnya.
Mahmudin yang tidak mempunyai pendidikan formal mengenai perniagaan, berkata, kejayaan beliau sudah tentunya boleh menjadi contoh generasi muda hari ini.

SEBAHAGIAN daripada pekerja menggoreng keropok jejari ubi.



Ternyata Mahmudin mempunyai falsafah perniagaannya sendiri yang boleh dijadikan panduan.
"Kalau hendak berniaga, kenalah ramah dengan orang. Pelanggan adalah tuan, tidak mengapa kalau kita merendah diri. Kerja juga mesti bersungguh-sungguh, jangan fikir hendak rehat banyak.
"Masa itu penting. Pada awal perniagaan dulu, saya dan isteri bekerja sampai pukul 12 malam, setiap hari. Semua pekerja sudah balik ke rumah tetapi kami berdua masih bekerja," katanya yang mendirikan sebuah kilang yang dilengkapi mesin memotong, menggoreng dan mengering kerepek.
Sehingga kini, perusahaan Fazz Enterprise menghasilkan kira-kira 77 jenis makanan ringan. Untuk kerepek ubi kayu, di samping perasa masin, terdapat juga beberapa perasa lain.


SEORANG pekerja membersihkan kepingan ubi yang telah dipotong.



Antaranya ialah perasa pedas kering, pedas basah, manis, tawar lemak, barbeku (BBQ), selain turut menghasilkan kerepek jejari ubi.
Makanan ringan lain termasuklah kerepek pisang, rempeyek, kerepek kentang, keropok kacang dal, keropok keju, kacang rani, bahulu Kemboja, bangkit kelapa dan lain-lain lagi.
Makanan ringan ini dipasarkan di bawah jenama kerepek 7F yang diambil sempena nama anak-anaknya. Makanan ringan keluarannya juga dijual di beberapa lokasi di Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang dan pantai timur melalui ejen-ejen perniagaan.
Setelah bertahun-tahun mengusahakan perniagaan kerepek dan menikmati kejayaan, apa perancangan Mahmudin seterusnya?
"Sekarang, saya hanya bertindak sebagai penasihat. Isteri saya membantu menjaga kualiti produk dan saya berharap, anak-anak akan meneruskan usaha saya ini.
"Manakala kilang baru yang menelan perbelanjaan kira-kira RM780,000 diharap dapat disiapkan secepat mungkin. Ini penting kerana kilang yang ada sekarang tidak mampu memenuhi permintaan pelanggan," ujarnya.


UBI KAYU mengambil masa kira-kira lapan hingga 10 bulan sebelum boleh dituai hasilnya.



Aidilfitri tambah rezeki
RAMADAN dan Syawal biasanya dilihat sebagai masa paling sesuai untuk usahawan kecil mahupun yang telah berjaya menambah pendapatan.
Ini kerana permintaan terhadap produk tertentu seperti kerepek meningkat sepanjang musim perayaan.
Perusahaan Fazz Enterprise turut meraih pulangan berlipat kali ganda menjelang sambutan Aidilfitri pada setiap tahun.
Fazzly Mahmudin, 30, salah seorang anak kepada usahawan kerepek, Mahmudin Abas, mengikut jejak langkah ayah kesayangannya apabila beliau menunjukkan minat untuk membantu perniagaan kerepek ayahnya yang mendapat sambutan hangat di Kuala Langat.
“Apabila tiba Ramadan, permintaan orang ramai akan melonjak tinggi dan kami terpaksa melipat gandakan pengeluaran bagi menampung permintaan yang luar biasa menjelang Hari Raya.
“Jika pada hari biasa, kami hanya mengeluarkan dua tan kerepek sehari tetapi menjelang Hari Raya, jumlah pengeluaran ditingkatkan beberapa kali ganda,” katanya pada Kosmo!.


PELBAGAI jenis kerepek jenama 7F dijual di kedai runcit di seluruh negara.



Menurut Fazzly, syarikatnya agak beruntung kerana tidak perlu bersusah payah membuat promosi kerana pelanggan akan datang sendiri ke rumah atau menelefonnya untuk membuat tempahan.
“Para pelanggan bukan sahaja terdiri daripada penduduk sekitar, sebaliknya ada yang datang dari luar Selangor. Mereka sanggup meredah perjalanan yang jauh semata-mata mahu mendapatkan kerepek kami.
“Kebanyakan mereka menempah dalam jumlah yang banyak kerana tidak sempat membuat kuih raya gara-gara kesibukan bekerja.
“Dengan bantuan pekerja seramai 30 orang dan mesin-mesin, saban tahun kami dapat memenuhi permintaan pelanggan walaupun terpaksa bekerja dari pagi sehingga lewat petang. Pada masa yang sama, kami juga perlu melayan mereka yang berkunjung ke kedai sepanjang bulan Ramadan ini,” jelasnya.

Kos [16/8/2011]

Search This Blog

Featured Images