Thursday, April 8, 2010

Apa istimewanya lelaki Lombok?

Oleh Nor Faizah Mohamed
faizah@hmetro.com.my
 
2010/04/02

ADA apa pada jejaka Lombok? Hendak dikatakan kacak bergaya, ia agak subjektif. Kalau hendak dibanggakan kerana hartanya, kehidupan mereka di sini pun tidak menentu.
Lagak dan gerak-geri lelaki Lombok ini turut diibaratkan sudah diberi betis inginkan paha. Sudah diberi peluang mencari rezeki di sini bagi menampung keluarga di sana, anak gadis tempatan pula yang hendak dibawa lari.

Namun, ada pihak tidak menyalahkan lelaki Lombok semata-mata kerana jika tiada angin masakan pokok bergoyang dan beralih menuding jari bahawa anak gadis tempatan zaman ini amat leka, malah rela dipujuk rayu pendatang asing sehingga nekad meredah laut.

Wartawan, Nor Faizah Mohamed (faizah@hmetro.com.my) mengupas isu ini bersama beberapa pandangan pakar.

"NASI lemak buah bidara, sayang selasih hamba lurutkan, buang emak buang saudara, kerana kekasih hamba turutkan." Terngiang-ngiang di telinga mengenai pantun empat kerat itu kala menatap satu demi satu kisah gadis tempatan yang sanggup meninggalkan keluarga semata-mata untuk membuktikan cinta sejati kepada pendatang asing terutama dari wilayah Lombok, Indonesia. Pelbagai janji manis dan kisah mengenai kehidupan menarik di pesisiran pantai Lombok dihamburkan hingga menyebabkan gadis tempatan mudah termakan pujukan mereka lalu rela mengharungi pelbagai rintangan untuk hidup bersama di wilayah itu.

Namun, panas yang diharapkan hingga ke petang tidak kesampaian apabila menyaksikan sendiri realiti hidup masyarakat di sana yang majoritinya berteraskan pertanian dengan pendapatan dikatakan RM15 sehari.
Lalu, mulalah gadis ini mencari jalan dan berusaha untuk pulang berikutan tidak tahan dengan kedaifan yang melanda diri kerana sudah terbiasa hidup senang di tanah air sendiri.

Justeru, muncul beberapa badan kerajaan yang tampil untuk membantu membawa pulang gadis itu ke pangkuan masing-masing. Malangnya apabila ada segelintir remaja dan wanita tempatan yang tidak menghiraukan laporan media setiap hari mengenai gejala itu, sebaliknya sanggup membutakan mata dan tuli telinga demi mengikut perasaan sendiri.

Ketua Pergerakan Puteri Umno, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin mengakui situasi itu dan kecewa dengan apa yang berlaku di kalangan remaja dan wanita khususnya kaum Melayu.

"Semuanya bergantung kepada aspek kekuatan diri. Andai diri kuat menahan godaan, saya percaya mereka pasti berjaya menepis pujuk rayu lelaki itu.

"Media sudah memainkan peranannya dalam memberitahu mengenai gejala itu, tapi wanita itu sendiri tidak kisah dan enggan mendengar nasihat dengan alasan perasaan cinta yang membuak-buak hingga tak mampu membuat pertimbangan wajar.
"Pembongkaran satu demi satu kes kahwin lari membabitkan lelaki dari Lombok di media ketika ini jelas sekali menunjukkan bahawa masih ramai wanita negara ini yang tidak peka dengan apa yang berlaku.

"Sama ada mereka tahu dan buat-buat tidak tahu atau memang sengaja tidak mahu ambil tahu, tidak mahu menonton atau membaca berita. "Jadi, untuk mengelakkannya Puteri Umno menuntut satu mekanisme yang perlu dilaksanakan segera oleh kementerian berkenaan bagi membendung gejala ini. "Antaranya ialah menggesa Kementerian Dalam Negeri membekukan pengambilan pekerja asing dari Lombok kerana kami percaya ada banyak lagi kes gadis Malaysia menderita di sana," katanya.

Tambah Rosnah, kini bukan masanya untuk menuding jari, sebaliknya mencari penyelesaian efektif bagi menyelamatkan lebih ramai wanita tempatan daripada terjebak dalam gejala itu.

"Jika tidak dibendung secepat mungkin, ia pasti akan mengakibatkan ibu muda terpaksa membesarkan anak mereka bersendirian apabila dibawa pulang ke tanah air. "Sementara gadis yang masih berada di Lombok dan beranak-pinak di sana terpaksa membesarkan anak mereka dengan peluang pendidikan yang sangat terhad.

"Salah satu inisiatif Puteri Umno ketika ini ialah bekerjasama dengan Pergerakan Pemuda bagi membantu mangsa yang ada di sana. Saya sendiri merancang ke Lombok untuk melihat sendiri keadaan kehidupan di sana.

"Seterusnya kami merancang memperhebatkan lagi kempen kesedaran di kalangan ahli dan masyarakat umum mengenai masalah itu. Kami turut menuntut ibu bapa memberi lebih tumpuan kepada anak gadis kerana ia kini boleh dianggap masalah sosial di kalangan masyarakat kita.

"Malah, bukan lelaki dari Lombok saja yang perlu diperhatikan kerana makin ramai wanita Malaysia mula menjadi mangsa kepada lelaki dari negara lain seperti Afrika dan Bangladesh," katanya.

Sementara itu, Penasihat Majlis Agama Islam Johor (Maij), Datuk Noh Gadut tidak menyalahkan lelaki Lombok kerana golongan itu sememangnya dikenali sebagai hidung belang dan kemungkinan besar mengamalkan ilmu hitam ketika memikat gadis tempatan.

"Salahkan diri wanita itu sendiri kerana tiada asas pendirian yang kuat. Manusia pandai berlakon, jadi sudah pastinya ayat 'mengurat' yang digunakan semuanya indah.

"Realitinya, cinta kepada pasangan semata-mata tidak menjamin kebahagiaan perkahwinan itu. Selain cinta, untuk membina rumah tangga bahagia ialah dengan keredaan keluarga. Apabila keluarga reda, Allah juga akan memberkati perkahwinan itu.

"Apa ertinya mendapat suami kalau hubungan keluarga terputus dan tidak memperoleh keredaan Allah. Daripada apa yang dipaparkan di media, jelas sekali mereka mengalami masalah selepas lari dan berkahwin di sana. "Jika perkahwinan mereka bahagia, sudah tentu mereka gembira tinggal di sana dan bukannya mencari bantuan untuk pulang. "Sudah memang sifat ibu bapa yang sanggup melakukan apa saja untuk anak-anak, mereka masih diterima baik oleh keluarga selepas pulang ke tanah air. "Berkahwin bukan sekadar untuk nafsu atau menunjuk-nunjuk, tapi ia memerlukan diri bersedia daripada segi mental, fizikal dan kedudukan kewangan yang baik. Cinta bukan boleh dimakan! "Islam mementingkan empat ciri yang perlu diambil kira sebelum berkahwin. Kecantikan, kekayaan, kebaikan keturunan dan agamanya. Alhamdulillah jika pasangan kita lengkap empat ciri ini. "Andainya tiga atau dua ciri, ia perlu disertakan agama. Kalau satu saja, pentingkan yang beragama kerana hanya agama yang mampu menjamin kesejahteraan hidup berkeluarga," katanya.

Tambah beliau, gadis yang lari ke Lombok semata-mata menurut perasaan cinta kepada kekasih boleh dikatakan mengamalkan 'budaya samseng' kerana sanggup membuang keluarga.

"Dalam budaya Islam dan masyarakat Melayu sendiri mempunyai cara yang betul untuk berkahwin. Kita ada adat merisik, di mana ia penting untuk melihat empat ciri itu. "Seterusnya ada adat bertunang, hukumnya sunat, supaya dapat melihat keserasian dan peribadi pasangan kita. Akhirnya akad nikah yang perlu disertai kedua-dua keluarga serta memenuhi hukum. "Syarat sah nikah ialah pengantin wanita perlu menggunakan wali iaitu bapa, abang atau lelaki daripada keturunannya. Jika tiada, mereka wajib menggunakan wali hakim. "Bagaimanapun, wali hakim itu adalah orang yang mendapat tauliah daripada sultan atau raja dan beliau hanya boleh menjadi wali hakim di kawasan atau negeri beliau dilantik.

"Walaupun nikah mereka dikatakan sah atas nama wali hakim, adakah wali hakim di sana benar-benar bertauliah atau sebaliknya? Dari situ sudah timbul kemusykilan dan pernikahan itu boleh dipertikaikan," ujarnya.

Justeru, beliau menggesa gadis di negara ini memperkasakan diri dengan ilmu agama dan mengukuhkan iman bagi mengelakkan diri terjebak sebagai mangsa.

HM [9/4/2010]
p/s ; istemewanya hanya pompuan yg pernah jumpa diorg yg tau ...

No comments:

Post a Comment

Search This Blog

Featured Images