Sunday, April 19, 2009

Wanita jaga trafik di Lima, Peru

Ini juga dari Berita Harian, 19/4/2009 ...Lima adalah ibu negara Peru...manakala enam pula ialah jumlah bila 7 ditolak 1 atau 4 tambah 2 :-)

Wanita jaga trafik Lima

Oleh Nurul Adlina Kamaludin
adlina@bharian.com.my


Anggota polis trafik wanita memantau lalu lintas di Lima.

Langkah tempatkan hanya anggota perempuan bertugas selaras usaha kerajaan Peru bendung gejala rasuah membabitkan anggota polis lelaki

DAPATKAH anda membayangkan bagaimana keadaannya jika kesemua anggota polis trafik yang bertugas adalah wanita? Apakah keadaan lebih aman atau mungkinkah ia mengundang pelbagai kontroversi kerana mengetepikan kalangan lelaki?

Yang pasti, inilah langkah terbaru di Lima, ibu negara Peru, apabila pihak berkuasa memutuskan pasukan polis trafiknya hanya dianggotai wanita dan tidak lagi dikuasai anggota lelaki seperti sebelumnya.


Alasannya, ia selaras dengan kajian terbaru di bandar raya itu yang mengaitkan wanita yang bertugas sebagai anggota keselamatan itu jauh lebih tegas, komited serta bebas rasuah berbanding anggota lelaki, apabila menjaga lalu lintas di Lima yang didiami lebih lapan juta penduduk.

Tinjauan secara online oleh Peru.com pada awal bulan ini menunjukkan 69 peratus responden menyokong usaha kerajaan menggantikan anggota polis lelaki itu dengan wanita.

Bagaimanapun, seperti isu lain yang ada pandangan pro dan kontra, seramai 29 peratus responden tidak bersetuju dengan langkah Kementerian Dalam Negeri yang mahukan kesemua anggota polis trafik berkenaan, wanita.
Kajian dapati anggota polis wanita di Peru lebih tegas.

“Kita dapati berbanding lelaki, anggota polis trafik wanita tidak mudah disogok dengan wang dan ganjaran lainnya,” kata jurucakap kementerian, Mercedes Cabanillas.

Berikutan itu, 500 anggota polis trafik lelakinya yang bertugas di jabatan itu, bakal diserapkan ke jabatan lain. Namun, biarpun kesemua anggotanya wanita, hakikatnya jabatan itu masih diterajui seorang lelaki, Jeneral Arturo Davila.

Selepas keputusan itu diumumkan minggu lalu, lebih ramai anggota polis wanita atau turut digelar ‘Senora’ dan ‘Senorita’ dilihat berkawal di sekitar bandar sesak itu, termasuk menaiki motosikal.

Polis trafik wanita itu juga dikatakan lebih tegas dengan tidak sekali-kali melayan sebarang usaha pesalah trafik yang mahu merasuah mereka. Ini disebabkan perbuatan menyogok anggota polis, khususnya trafik adalah sesuatu yang disifatkan sebagai biasa di negara Amerika Latin itu.
Hakikatnya, pengumuman oleh kementerian itu hanya membangkitkan apa yang pernah disuarakan kerajaan bekas Presiden Alberto Fujimori pada 1999 yang mahukan pasukan polis trafiknya hanya dianggotai wanita. Ketika itu, 25 peratus daripada 2,500 anggota polis trafik adalah wanita.

Gejala rasuah itu dikatakan berkait rapat dengan gaji kecil anggota polis itu iaitu paling minimum AS$200 (RM700) sebulan - pendapatan yang terlalu kecil berbanding kos sara hidup yang agak tinggi di Lima. Ini disebabkan gaji paling minimum diperlukan bagi membolehkan satu keluarga lima beranak hidup selesa di Lima adalah kira-kira AS$300 (RM1,000).

Kesempitan hidup itu menyebabkan ada pegawai polis trafik lelakinya yang tanpa segan silu mengambil rasuah secara terang-terang, termasuk menahan kereta secara rambang untuk mengutip rasuah biarpun pemandunya tidak melakukan sebarang kesalahan.

Fenomena itu berleluasa khususnya pada tempoh menghampiri musim perayaan atau cuti panjang bagi yang mana anggota lelaki itu memerlukan wang bagi membeli hadiah atau untuk menampung percutiannya sekeluarga.

“Anggota lelaki sibuk menahan kenderaan untuk mendapatkan wang membeli makanan tengah hari manakala anggota wanitanya yang lebih jujur dan komited apabila bertugas,” kata pemandu teksi, Juan Ignacio.

Bagaimanapun, tegasnya, keadaan masih terlalu awal untuk mengadili anggota wanita itu kerana tidak mustahil gejala rasuah yang sukar dibendung itu, akan turut diamalkan polis wanita.

Namun, apa yang pasti buat sementara ini, Ignacio dan kalangan pemandu lain perlu menerima hakikat kehadiran pasukan polis trafik wanita yang bukan setakat mengawal lalu lintas, tetapi perlu membuktikan mereka tidak akan mencontohi sikap rakan anggota lelaki mereka.

Mereka juga perlu membuktikan, di sebalik senyuman yang dilemparkan, mereka juga harus memastikan tangan mereka ‘terikat’ dengan tidak mengamalkan rasuah.

INFO: Peru



  • 29 juta orang penduduk.





  • Majoriti berusia 15 hingga 64 tahun.





  • Bagi kelompok usia itu, lelaki seramai 796,631 manakala wanita, 893,757 orang.





  • Jangka hayat lelaki 68 tahun berbanding wanita 72 tahun.



  • wanita lebih tegas, komited serta bebas rasuah berbanding lelaki?...jawab..jangan tak jawap :-)

    No comments:

    Post a Comment

    Search This Blog

    Featured Images