Thursday, April 29, 2010

Makkah ramai penagih

RIYADH: Kajian terbaru mendapati, kes penyalahgunaan dadah di Makkah meningkat sejak beberapa tahun lalu menjadikan wilayah itu sebagai kawasan paling ‘panas’ di Arab Saudi.

Akhbar harian al-Madinah melaporkan, tahun lalu kira-kira 9,000 kes dilaporkan.

Penyelidik Universiti Raja Saud, Dr Ashraf Shilbi, berkata setiap tahun kira-kira 1,000 orang terbabit dalam kegiatan itu di Makkah.

Riyadh berada di tempat kedua, diikuti Jazan, Wilayah Timur, Asir, Madinah, Tabuk, al-Qassim dan al- Jouf.

Ashraf berkata, pelajar dan golongan muda berusia di antara 20 dan 30 tahun dilihat paling ramai menyalah guna dadah.

“Orang bujang juga lebih ramai menjadi mangsa berbanding penduduk berkelamin. “Faktor lain yang mempengaruhi kecenderungan ini adalah pengangguran,” katanya.

Kajian sama menunjukkan, jumlah dadah dirampas meningkat hampir 18 peratus setahun dengan hashish menjadi bahan paling banyak ditemui. 

Dadah lain termasuklah heroin dan amphetamine. - Agensi


HM [30/4/2010]

p/s ; ?????????????

Irene Rosenfeld wanita berpendapatan tertinggi di AS

NEW YORK 29 April - Irene Rosenfeld daripada Kraft Foods merupakan eksekutif wanita yang memperolehi pendapatan tertinggi di Amerika Syarikat (AS) pada 2009 dan merupakan salah seorang daripada 15 wanita dalam senarai tahunan yang mengetuai 500 syarikat terbesar di negara ini, menurut Forbes.com.

Rosenfeld, 56, melonjak ke tangga teratas dengan pendapatannya meningkat hampir tiga kali ganda kepada AS16.7 juta (RM53.8 juta) pada 2009. Beliau berada di tempat ketiga pada tahun sebelumnya dengan pendapatan sebanyak AS$5.7 juta (RM18.4 juta).

Rosenfeld bertanggungjawab menggerakkan pengambilan alih syarikat Britain, Cadbury pada tahun lalu.

Andrea Jung daripada Avon Products jatuh ke tempat kelima dengan pendapatan sebanyak AS$9.1 juta (RM29.3 juta) berbanding tempat pertama pada 2008 dengan memperolehi pendapatan sebanyak AS$11.8 juta (RM40 juta).

''Wanita dibayar berdasarkan prestasi perniagaan semasa mereka dalam bentuk gaji dan bonus, di samping mendapat peluang mengumpul kekayaan dalam jangka panjang,'' kata Pengarah Urusan Steven Hall & Partners, Pearl Meyer. Steven Hall & Partners merupakan syarikat yang terlibat mengkaji pendapatan eksekutif.

Walaupun begitu, wanita hanya mewakili tiga peratus daripada ketua pegawai eksekutif (CEO) dalam 500 syarikat terbesar di AS, jumlah yang tidak banyak berubah sejak tiga tahun lalu.

Susan Ivey daripada syarikat tembakau, Reynolds American menduduki tempat kedua dengan pendapatan sebanyak AS$11.8 juta (RM40 juta) diikuti oleh Carol Meyrowitz daripada rangkaian kedai runcit, TJX Cos dengan pendapatan sebanyak AS$11.1 juta (RM35.7 juta) dan Indra Nooyi daripada PepsiCo dengan pendapatan sebanyak AS$10.7 juta (RM34.5 juta), menurut senarai yang terpapar di www.Forbes.com/ceos.

Debra A. Cafaro daripada syarikat pemegang amanah pelaburan hartanah, Ventas yang memiliki bangunan hospital dan perubatan boleh memperoleh manfaat daripada rang undang-undang penjagaan kesihatan yang baru diluluskan di AS, menduduki tempat ketujuh dalam senarai eksekutif wanita yang memperoleh bayaran tertinggi.

Senarai CEO 500 firma terbesar AS adalah berdasarkan kedudukan menyeluruh dari segi jualan, untung, aset dan nilai pasaran. - Reuters

UM [30/4/2010]
p/s ; wow...sapa yg mampu tandingi prestasinya di Malaysia?

Cheryl kekal paling seksi

LONDON: Hidupnya mungkin merana tapi penyanyi Cheryl Cole, 26, kekal sebagai Wanita Paling Seksi Dunia majalah FHM untuk tahun kedua berturut-turut.
CHERYL...tumpuan media.
CHERYL...tumpuan media.
Hakim rancangan X Factor itu mengungguli senarai 100 wanita terseksi FHM, mengatasi aktres Hollywood, Megan Fox dan model bikini, Marissa Miller.

Nasib Cheryl pada tahun lalu umpama roller coaster apabila dia berjaya sebagai artis solo tapi kemudian berpisah dengan suaminya, Ashley Cole.

Bintang filem Transformers, Megan, 23, gagal merampas gelaran itu daripada Cheryl untuk tahun kedua berturut-turut meskipun mendedahkan sebahagian besar tubuhnya dalam iklan pakaian dalam Armani.

Aktres filem Twilight, Kristen Stewart menjadi pendatang baru menduduki antara tempat teratas apabila tersenarai di tangga keenam.
Frankie Sandford pula berada di tempat keempat manakala dua model, Kelly Brook dan Keeley Hazell turut berada di 10 tempat teratas.

Satu-satunya isteri bintang bola sepak yang tersenarai dalam 10 tempat teratas ialah tunang Peter Crouch, Abbey Clancy yang berada di tempat ke-10. 

Ketua Pengarang FHM, Colin Kennedy berkata, Cheryl menjadi pilihan utama sejuta peminat yang terbabit dalam pengundian itu.

“Dia menjadi tumpuan media sejak 12 bulan lalu. Tidak hairanlah jika Cheryl menjadi pilihan ramai peminat dan meninggalkan pencabar lain jauh di belakang,” katanya. - Agensi

HM [30/4/2010]

p/s ; setiap yg blaku ada rahmatnya..

Budak buta guna bahasa gema


JAMIE ASPLAND


KENT - Walaupun buta sejak lahir, seorang budak lelaki di Britain berusia empat tahun, Jamie Aspland mampu berjalan tanpa bantuan sesiapa dengan mempelajari bahasa ikan lumba-lumba, lapor sebuah akhbar semalam.

Dia mengguna teknik FlashSonar atau kaedah pengesanan gema seperti ikan lumba-lumba dengan mulut mengeluarkan bunyi berdetap nada tinggi bagi menjejaki pantulan semula dari permukaan objek sebagai panduan kedudukan.

Teknik itu dimajukan oleh seorang lelaki buta Amerika Syarikat (AS), Dabiel Kish yang juga Presiden Akses Dunia Bagi Orang Buta.

Kaedah itu membolehkan orang buta mengesan sebarang objek yang berada pada jarak 100 meter.

Ibunya, Deborah Aspland, 39, terkejut apabila mendapati anaknya sudah mampu berjalan tanpa berlanggar sebarang objek selepas mempelajari teknik itu.

"Dia telah berjaya untuk berjalan di tangga tanpa bantuan saya. Ia amat menakjubkan kerana saya dulu agak cemas apabila melihatnya bergerak ke arah pagar sebelum dia berpusing apabila menyedari ada objek di depannya," kata Deborah. - Agensi

Kos [30/4/2010]
p/s ; kuasa Tuhan..

Peluncur Bali berang digelar gigolo


ROSNAN EFENDI berbual dengan seorang pelancong asing di pantai Kuta, Bali pada Selasa lalu.


KUTA - Kumpulan pemuda peluncur air di pulau Bali menafikan dakwaan bahawa mereka ialah gigolo yang menawarkan khidmat seks dengan meminta bayaran.

Penafian itu dibuat setelah polis Indonesia bertindak menahan 30 pemuda peluncur air yang digelar koboi di sini baru-baru ini dalam satu operasi pihak berkuasa bagi membersihkan pantai Bali daripada gejala pelacuran.

Operasi itu dilancarkan susulan penyiaran dokumentari arahan Amit Virmani dari Singapura yang berjudul Cowboys in Paradise pada satu festival filem di Korea Selatan, awal bulan ini.

Dokumentari itu mendedahkan aktiviti peluncur air lelaki yang memikat wanita untuk ditiduri dengan sejumlah bayaran.

"Saya khuatir jika pihak berkuasa akan menangkap saya selepas ini," kata seorang jurulatih sukan luncur air berusia 29 tahun, Rosnan Efendi.

"Saya juga berang kerana pembikin filem itu memutarbelitkan cerita kami," tambahnya.

Bertubuh sasa dan berambut panjang, Rosnan berkata, dia berkenalan dengan seorang wanita Jerman yang menjadi kekasihnya di pantai Kuta, di sini empat tahun lalu dan mereka saling jatuh cinta.

"Kami bersama kerana cinta, bukan wang. Apabila kami keluar temu janji, kami membayar bil masing-masing. Dokumentari itu satu penipuan. Kuta koboi atau gigolo Bali tidak wujud," ujarnya.

Seorang lagi jurulatih sukan luncur air berusia 53 tahun yang dikenali sebagai Bobbi memberitahu, sudah menjadi perkara biasa untuk peluncur bersikap peramah dengan setiap orang termasuk pelancong wanita.

"Adakah perbuatan seperti itu salah?," soalnya. - AFP

Kos [30/4/2010]
p/s ; Bali..

Tak makan, minum selama 70 tahun


PRAHLAD JANI


NEW DELHI - Sekumpulan doktor yang berkhidmat dengan tentera India kini melakukan kajian terhadap seorang lelaki, Prahlad Jani selepas dia mendakwa tidak pernah makan dan minum selama 70 tahun.

Jani, 83, dikaji oleh 30 doktor yang bermula pada 22 April lalu. Kajian itu bakal mengambil masa selama 15 hingga 20 hari di sebuah hospital di bandar Ahmedabad, Gujerat selama 24 jam sehari.

"Pemerhatian daripada kajian itu akan memberi harapan terhadap kehidupan tanpa makanan dan minuman," kata Pengarah Institut Pertahanan Fisiologi dan Sains Sokongan, Dr. G. Ilavazahagan. 

Doktor-doktor itu percaya dia memiliki kualiti yang dapat membantu menyelamatkan nyawa manusia.

Setakat ini, dia tidak makan, minum atau membuang air selama enam hari tetapi beberapa doktor menyatakan, kesihatan Jani tidak terjejas akibat kekurangan zat.

Jani mendakwa dia meninggalkan rumah semasa berusia tujuh tahun sebelum mengabadikan dirinya pada Tuhan di negeri Rajasthan.

Lelaki misteri itu mendakwa dia diberi makan oleh seorang dewi yang memasukkan sejenis pati ke dalam lubang di lelangitnya.

Pasukan doktor itu menjangkakan lelaki itu akan mengalami masalah kekurangan air, penurunan berat badan, keletihan dan kegagalan fungsi beberapa organ dalam tempoh kajian. - Agensi 

Kos [30/4/2010]

p/s ; fuhh...klu dia seorg islam tentu puasa dia full setiap ramadhan..

Tiger Woods akui tiduri 120 wanita


TIGER WOODS dan isterinya, Elin Nordegren.


LOS ANGELES - Bukan 13 seperti yang didedahkan beberapa laporan sebelum ini, sebaliknya bilangan sebenar wanita yang pernah tidur dengan pemain golf No.1 dunia, Tiger Woods sepanjang lima tahun perkahwinannya dengan bekas model, Elin Nordegren adalah 120 orang, lapor sebuah akhbar semalam.

Angka tersebut berdasarkan laporan majalah Amerika Syarikat (AS), National Enquirer pada minggu ini.

Satu sumber majalah itu menyatakan bahawa bintang golf tersebut menyenaraikan semua wanita yang pernah ditidurinya semasa dia menjalani terapi ketagihan seks. 

Woods, 34, menjalani rawatan ketagihan seks di klinik pemulihan Gentle Path di negeri Mississippi, AS, pada awal tahun ini.

Bagaimanapun, majalah sama memberitahu, kecurangan Woods, 34, dengan anak gadis jirannya yang berusia 21 tahun merupakan tamparan paling hebat buat isterinya berhubung skandal seks suaminya itu.

Majalah National Enquirer mendakwa ibu anak dua itu akhirnya memutuskan mahu bercerai setelah majalah itu mendedahkan permainan cinta suaminya dengan anak jirannya, Raychel Coudriet.

Antara wanita yang pernah ditiduri Woods termasuk model majalah Playboy, Loredana Jolie dan pengurus hiburan kelab malam, Rachel Uchitel.

Majalah berkenaan memetik sumber sama memberitahu bahawa Woods tidak menamakan Rachel dalam senarai wanita teman tidurnya itu.

Majalah National Enquirer mendakwa, skandal Woods-Rachel berlaku pada Mei tahun lalu dan lokasinya cuma beberapa meter dari tempat isterinya menyusukan anak bongsu mereka yang baru lahir.

Skandal seks Woods itu terbongkar selepas dia terbabit dalam satu kemalangan kereta di luar rumahnya di Florida pada November tahun lalu. - Agensi

Kos [30/4/2010]
p/s ; aduhai isteri..

Mayat lelaki dikerat tiga dicampak dalam tong sampah

POLIS memeriksa tempat tiga bahagian mayat dijumpai di   pusat 
pengumpulan sampah di Larkin, semalam.
 
POLIS memeriksa tempat tiga bahagian mayat dijumpai di pusat pengumpulan sampah di Larkin, semalam.
 
JOHOR BAHRU: Seorang lelaki dibunuh dengan anggota tubuhnya dikerat tiga bahagian sebelum disumbat dalam tiga beg plastik hitam dan dicampak di tempat pembuangan sampah di belakang sebuah pusat beli-belah Taman Perling dekat sini.

Kepala, badan serta bahagian kaki lelaki itu bagaimanapun ditemui di pusat pengasingan dan pengumpulan sampah Jalan Bakti, Kawasan Perindustrian Dato Onn, Larkin selepas longgokan sampah dari pusat beli-belah itu diangkut ke situ, pagi semalam. 

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Ruslan Hassan, berkata seorang pekerja syarikat pelupusan sampah berkenaan menemui satu plastik mengandungi kepala mangsa, kira-kira 11.50 pagi, sebelum kejadian itu dilaporkan kepada polis.  

“Polis menjalankan pemeriksaan sebaik menerima laporan itu, kemudian menemui badan dan kaki mangsa dalam dua beg plastik lain. Bagaimanapun 80 peratus tubuh mangsa masih sempurna,” katanya.

Ruslan Hassan berkata, siasatan awal mendapati lelaki terbabit berusia lingkungan 20-an, berkulit cerah dan mungkin dibunuh dalam tempoh 24 jam sebelum mayatnya ditemui.

“Kita belum mengenal pasti identiti lelaki terbabit kerana tiada sebarang dokumen ditemui. Kita juga tidak menemui sebarang senjata di tempat kejadian.

“Kita percaya mangsa dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dicampak di tempat pembuangan sampah di belakang pusat beli-belah itu,” katanya.
 
Beliau berkata, mayat itu dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk bedah siasat.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berdekatan untuk membantu siasatan.

Sementara itu, pekerja yang menemui mayat lelaki terbabit, yang hanya mahu dikenali sebagai Kumar berkata, dia berasa pelik apabila bungkusan yang diangkat agak berat berbanding beg sampah lain.

Katanya, beliau kemudian membuka bungkusan berkenaan dan terkejut melihat kepala manusia di dalamnya.
 
BH [29/4/2010]
p/s ; teringat kes satu hari dulu..

Wednesday, April 28, 2010

Saintis Britain minta bukti kukuh



GAMBAR yang disiarkan agensi berita AFP pada Selasa lalu menunjukkan seorang anggota ekspedisi melihat dinding kayu yang dipercayai kandang haiwan di dalam bahtera Nabi Nuh di Gunung Ararat, Turki.



LONDON - Seorang saintis Britain meminta satu kumpulan ekspedisi China-Turki menunjukkan lebih banyak bukti saintifik bahawa mereka telah menemui bahtera Nabi Nuh di Gunung Ararat, Turki, lapor sebuah akhbar semalam.

Pada Isnin lepas, agensi berita AFP melaporkan sekumpulan 15 penjelajah dari Hong Kong dan Turki mendakwa menemui tujuh struktur berupa kandang kayu besar di dalam lereng curam bersalji pada ketinggian sekitar 4,000 meter berhampiran puncak Gunung Ararat di timur Turki.

"Kami belum dapat mengesahkan 100 peratus ia bahtera Nabi Nuh tetapi kami 99.9 peratus yakin bahawa kami telah menemuinya (bahtera Nabi Nuh)," kata seorang pembikin filem yang menyertai ekspedisi itu, Yeung Wing-cheun berhubung penemuan sisa tinggalan kayu pada Oktober tahun lalu di gunung berkenaan.

Menurutnya, sisa tinggalan dan struktur kayu itu bukan peninggalan penempatan manusia dahulu kala kerana tiada tempat tinggal manusia pernah ditemui pada ketinggian melebihi 3,500 meter di lokasi berkenaan.

Kumpulan penjelajah itu enggan mendedahkan dengan tepat lokasi penemuan itu sehingga pemerintah Turki bersetuju untuk mengisytiharkan kawasan tersebut sebagai tapak arkeologi.

"Saya melihat struktur diperbuat daripada papan kayu balak. Setiap papan selebar kira-kira 20 sentimeter," kata seorang ahli kumpulan ekspedisi itu, Panda Lee pada sidang akhbar di Hong Kong Isnin lepas.

"Saya turut melihat pasak-pasak kayu, bukti struktur itu adalah binaan dahulu kala sebelum penggunaan paku besi.

"Kami kemudian berjalan ke satu lagi tapak. Saya dapat melihat beberapa serpihan papan dilitupi glasier, sesetengahnya memiliki panjang sehingga 20 meter," tambah Lee.

Menurutnya, dinding kayu sebuah kandang adalah rata dan melengkung seperti dinding bahtera manakala klip video yang ditunjukkan kumpulan itu mendedahkan struktur kandang itu mempunyai beberapa pintu, tangga dan pasak kayu.

Pasukan penjelajah itu memberitahu, papan yang mereka temui berasal daripada kayu pokok pain Cypress walaupun kitab Injil sebelum ini menyatakan, bahtera Nabi Nuh dibina daripada kayu kokka.

Kitab al-Quran dan Injil ada menyatakan, banjir besar berlaku di bumi dengan Tuhan memerintah Nabi Nuh membina sebuah bahtera dan membawa bersamanya haiwan.

Menurut kitab Taurat, ukuran panjang bahtera Nabi Nuh adalah 160 meter, lebar 24 meter dan tinggi 16 meter iaitu lebih tinggi daripada sebuah bagunan tiga tingkat manakala dek bahtera itu pula seluas 36 gelanggang tenis.

Ujian penentuan tarikh karbon mendapati struktur yang ditemui di Gunung Ararat itu berusia 4,800 tahun.

Bagaimanapun, seorang pakar arkeologi Britain, Mike Pitt berkata, buat masa ini, kumpulan ekspedisi itu masih belum mengemukakan bukti kukuh.

"Jika berlaku banjir besar yang berupaya mengapungkan kapal hingga ketinggian 4,000 meter ke lereng sebuah gunung pada 4,800 tahun lalu, saya yakin terdapat bukti geologi mengenai banjir ini di seluruh dunia tetapi sehingga kini tiada bukti lagi," kata Pitt.

Penganut agama Kristian sebelum ini menyatakan Nabi Nuh memerlukan 40,000 haiwan bagi mewakili setiap jenis binatang di bumi.

Namun, mereka yang sangsi dengan kenyataan itu memberitahu, Nabi Nuh perlu membina kapal amat besar yang boleh memuatkan sekurang-kurangnya 1.5 juta spesies haiwan sekiranya ingin membawa bersama semua haiwan di bumi. 

Ekspedisi penemuan serpihan kayu itu turut boleh dilihat di laman perkongsian video YouTube di Internet. - Agensi 

Kos [29/4/2010]

p/s ; ada pula golongan yg tdk mpercayai Kisah Nabi Nuh..

Angsa ditusuk anak panah



GAMBAR menunjukkan seekor angsa yang tertusuk sebatang anak panah dekat Kettlecreek di Sungai Toms, New Jersey pada minggu lalu.



NEW JERSEY, Amerika Syarikat - Seekor angsa hinggap di sebuah laman seorang doktor dekat Kettlecreek di Sungai Toms, di sini dengan sebatang panah pemburu sepanjang 66 sentimeter yang tertusuk di badannya.

Seorang pesara doktor haiwan, Bernard Levine, 82, telah membantu menangkap angsa tersebut sebelum melakukan pembedahan dengan mengeluarkan anak panak dan beberapa peluru penabur serta memindahkannya ke pusat pemulihan burung terbesar negeri itu.

"Angsa ini sangat bijak. Ia singgah di laman seorang veterinar yang boleh membantu menyelamatkan dan menjaganya," kata Dr. Levine.

Setelah ia pulih daripada kecederaan di pusat pemulihan berkenaan, angsa tersebut dilepaskan ke sebuah terusan pada minggu lepas. - AP

Kos [29/4/2010]
p/s ; bpantang maut sblum ajal..

Cili boleh kuruskan badan

LOS ANGELES - Sekumpulan saintis Universiti California, Amerika Syarikat (AS) mendakwa, memakan banyak cili dapat menurunkan berat badan kerana sayuran tersebut dapat meningkatkan kadar metabolisme dan membakar lemak, lapor sebuah akhbar semalam.

Penemuan itu berdasarkan hasil kajian terhadap 34 sukarelawan lelaki dan wanita yang dihidangkan lada kurang pedas atau perisa tiruan cili.

Kajian itu mendapati pembakaran tenaga dalam badan kumpulan sukarelawan yang memakan banyak cili adalah hampir dua kali ganda lebih tinggi berbanding mereka yang diberikan makan perisa cili tiruan. - Agensi

Kos [29/4/2010]
p/s ; nak tanam cili la pula..

Pilu hati ayah tua

Oleh Arifin Salleh
MASJID TANAH: “Awak balik sajalah, lebih baik jaga isteri di rumah,” begitu kata-kata sinis dilemparkan seorang anak lelaki kepada bapa kandungnya ketika warga emas terbabit mengunjungi tempat anaknya bertugas untuk mengubat kerinduan selepas sekian lama tidak bertemu.

KISAHKU...Roslina (kiri) mendengar cerita Abdul Rahman mengenai 
pertemuan dengan anaknya.
KISAHKU...Roslina (kiri) mendengar cerita Abdul Rahman mengenai pertemuan dengan anaknya.
Perbuatan lelaki berusia 50-an berkenaan yang berjawatan tinggi, amat menghiris hati warga emas itu, Abdul Rahman Baharom, 73, kerana dia satu-satunya anak lelaki dalam keluarganya yang berjaya menjejakkan kaki ke menara gading.

Abdul Rahman yang menetap di Ulu Sepetang, Taiping, Perak, bersama isteri kedua dan ketiganya, berada di Melaka sejak dua bulan lalu, kerana mengunjungi isteri keempatnya.

Menurutnya, dalam kejadian hujung tahun lalu, keinginannya untuk bertemu dengan anak lelakinya itu yang terpisah sejak lebih 20 tahun, begitu memuncak untuk mengubat kerinduan yang terpendam selepas dimaklumkan lokasi anaknya bekerja oleh anak dengan isteri keempatnya, Roslina, 38, baru-baru ini.

Katanya, dia kemudian dibawa ke tempat anak lelakinya bertugas tetapi mendakwa dilayan seperti orang asing malah tidak disapa ketika bertemu, malah lebih mengaibkan apabila anaknya itu seolah-olah tidak pernah mengenalinya sebelum ini tanpa menghulur tangan mahupun bertanya khabar.

“Perasaan saya sungguh kecewa apabila dia melayan acuh tidak acuh sahaja sedangkan saya memanja dan membelainya dengan sepenuh kasih sayang ketika kecil. Tujuan saya datang ke sini bukan mahu meminta duitnya tetapi sekadar ingin melepaskan kerinduan seorang ayah.

Dari raut wajahnya, saya rasa kedatangan saya menyusahkannya, malah dia memandang sinis kehadiran saya tanpa menunjukkan sebarang kemesraan sebelum menyuruh saya balik jaga isteri saya sebelum berlalu meninggalkan saya bersendirian.

“Saya terkedu dengan tindakannya, apa salah saya sedangkan sebelum ini kami tidak pernah bersengketa malah sebelum itu pun dia sendiri yang bersetuju saya bernikah dengan ibu tirinya, tetapi kenapa sekarang baru menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap saya,” katanya di sini, semalam.

Abdul Rahman yang mendakwa memberi didikan kepada anaknya itu berkata, anaknya memberi alasan mempunyai tugas dan berlalu meninggalkannya. 

HM [28/4/2010]
p/s ; Si Tanggang di zaman moden ..

Gigolo Bali ditahan



Gambar yang diambil pada 31 Mac 2010, merakamkan dua ‘budak pantai’ sedang berbual dengan dua pelancong asing wanita di pantai Kuta, pulau peranginan Bali. – AFP



DENPASAR 27 April - Seramai 28 'budak pantai' yang didakwa menawarkan khidmat seks kepada pelancong wanita di Bali ditangkap oleh pihak berkuasa Indonesia selepas sebuah dokumentari mengenai 'gigolo' di pulau peranginan itu tersebar di Internet.

"Kami menangkap 28 lelaki yang kami syaki gigolo. Mereka muda, nampak cergas dan berkulit sawo matang, kebanyakan mereka budak pantai yang suka bermain luncur air," kata ketua pasukan keselamatan di pantai Kuta, I Gusti Ngurah Tresna.

Beliau berkata, pihaknya masih menyoal mereka yang ditahan itu dan jika terdapat sebab-sebab kukuh untuk mengesyaki mereka terlibat dengan kegiatan tidak sihat, mereka akan diserahkan kepada polis.

"Kami sentiasa berada di pantai, kerana itu kami dapat meneka siapa yang mungkin mengambil kesempatan daripada wanita asing," kata Tresna.

Penangkapan itu dilakukan selepas tayangan dokumentari, Cowboys in Paradise (Koboi di Syurga), karya penulis dan pengarah yang berpangkalan di Singapura, Amit Virmani dalam pesta filem di Korea Selatan pada Rabu lalu.

Beberapa segmen filem itu yang memaparkan temu bual terus terang dengan 'budak-budak pantai' dan wanita asing yang terpikat dengan mereka, tersebar luas di Internet selepas mula disiarkan di YouTube.

Tresna menganggap dokumentari itu bercanggah dengan imej Bali sebagai satu destinasi bertaraf dunia yang hendak diketengahkan oleh pihak berkuasa.

"Selama ini kami mempromosikan keindahan pantai dan ombak, pemandangan matahari terbenam, penyu, budaya dan pemuliharaan alam di Bali, dan tiba-tiba kami kini dilihat mempromosi gigolo? Filem seperti itu benar-benar mencemarkan imej kami," katanya.

Beliau tidak dapat menjelaskan jenis tuduhan yang boleh difailkan terhadap 'budak-budak pantai' itu dan mengakui adalah sukar untuk membuktikan mereka menawarkan khidmat seks.

"Kami menangkap beberapa orang suspek tidak berapa lama dahulu tetapi melepaskan mereka dengan amaran keras.

"Mereka akan mendekati pelancong asing wanita, terutamanya wanita Jepun, di pantai, untuk berbaik-baik dengan mereka dan wanita itu pula akan mengupah mereka untuk menjadi teman di samping menanggung kos makan minum mereka. Hubungan seks mungkin diadakan. - AFP

Kos [28/4/2010]

p/s ; Bali memang sebuah pulau yang cantekkk..

Bilik RM35,000 satu malam



GAMBAR menunjukkan sebuah bilik di Hotel Armani di bangunan tertinggi dunia, Burj Khalifa di Dubai.



DUBAI - Dengan satu bilik berharga hingga AS$11,000 (RM35,000) untuk penginapan satu malam, pereka fesyen ternama dari Itali, Giorgio Armani merasmikan hotel pertamanya di menara tertinggi dunia, Burj Khalifa di sini, Emiriah Arab Bersatu (UAE) semalam.

"Kelmarin, saya melihat hotel ini hidup (beroperasi) dan saya berasa amat tersentuh," kata Armani dalam satu sidang media di Burj Khalifa.

Harga penginapan di hotel berkenaan yang dinamakan Hotel Armani diakui mahal tetapi reka bentuk, hiasan dalaman dan susun atur hotel berkenaan menampilkan konsep ringkas tetapi elegan.

Menggunakan kombinasi warna hitam dan coklat, hotel itu menduduki sebahagian ruang tingkat bawah sehingga tingkat lapan Burj Khalifa manakala suit mewah terletak di tingkat 38 dan 39.

Ia turut dilengkapi beberapa restoran mewah dan sebuah spa, tetapi keahlian spa tersebut terhad kepada 300 ahli kelab Gaya Armani sahaja.

Pereka fesyen itu turut mereka bentuk sejumlah apartmen mewah, Armani Residence di tingkat sembilan sehingga tingkat 16 bangunan tersebut yang dijual kepada pembeli persendirian. - AFP

Kos [28/4/2010]

p/s ; wat 2 say?..just WOW..

Parlimen Ukraine kecoh






KIEV 27 April - Parlimen Ukraine menjadi kecoh hari ini apabila anggota Parlimen bergaduh dan melontar bom asap ketika berlaku perbahasan hangat mengenai tempoh melanjutkan kehadiran sebuah pangkalan tentera laut Rusia di negara ini.

Di sebalik kejadian luar biasa yang menyaksikan dewan persidangan dipenuhi asap, Parlimen meluluskan usul untuk melanjutkan tempoh armada Laut Hitam Rusia di Crimea sehingga 2042, yang disifatkan oleh pembangkang sebagai 'menggadai' Ukraine.

Kekecohan bermula apabila Speaker, Volodymr Lytvyn dibaling sedozen telur memaksa beliau berlindung di sebalik payung.

Beberapa bom asap juga dilontar di dalam dewan, dipercayai dilakukan oleh wakil rakyat pembangkang pro-Barat sebelum tercetus pergaduhan apabila anggota-anggota Parlimen saling tumbuk-menumbuk.

Andriy Shevchenko, ahli Parlimen daripada blok yang diketuai bekas Perdana Menteri, Yulia Tymoshenko, mengaku bom asap berkenaan dilontar oleh pihaknya.

Walaupun keadaan kecoh, terdapat ahli Parlimen meneruskan ucapan seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku.

Dengan sebahagian ahli Parlimen memekik 'malu,' Parlimen meluluskan usul berkenaan dengan 236 daripada 450 anggota Parlimen mengundi menyokong usul tersebut.

''Tidak kira lontar bom asap atau baling telur ataupun bergaduh, mampu menidakkan pihak majoriti membuat keputusan,'' kata Perdana Menteri, Mykola Azarov selepas sesi tamat.

Rusia sebelum ini bersetuju untuk memberikan Ukraine diskaun sebanyak 30 peratus ke atas gas asli yang diimportnya bernilai AS$40 bilion (RM128.8 bilion) bagi tempoh 10 tahun jika Ukraine melanjutkan tempoh kehadiran pangkalan tenteranya di Ukraine. - AFP

 

SEORANG pengawal keselamatan melindungi Speaker Parlimen, Volodymyr Liytvyn pada satu insiden baling telur di Parlimen Kiev semalam. [sumber gambar dari Kosmo]
 

PAYUNG digunakan untuk melindungi Speaker Parlimen, Volodymyr Liytvyn semasa sidang sedang berlangsung. [sumber gambar dari Kosmo]



 

UM [28/4/2010]

p/s ; coming soon 2 Malaysia :-)

Tupai pertahan bangkai rakan



KLIP di laman YouTube menunjukkan seekor tupai melindungi bangkai rakannya.



LONDON - Seekor tupai sanggup berhadapan bahaya demi mempertahankan bangkai rakannya daripada menjadi hidangan sekumpulan burung gagak, lapor sebuah akhbar semalam.

Sekumpulan burung gagak itu terpaksa melupakan niat untuk menjadikan bangkai seekor tupai yang mati kerana terdapat seekor tupai yang tidak membenarkan haiwan itu memakannya.

Satu rakaman video menunjukkan kesetiaan tupai tersebut terhadap rakannya sehingga ia sanggup menghalang tiga ekor burung gagak memakan bangkai rakannya di sebatang jalan raya.

Klip video itu dapat dilihat di laman YouTube dan ia telah ditonton oleh lebih 500,000 penonton.

Dalam rakaman tersebut, tupai itu melompat sambil menggerakkan ekor bagi memberi isyarat supaya burung gagak itu beredar.

Namun, seekor demi seekor gagak mendekati bangkai itu.

Tupai itu kemudian berdiri dan dilihat berbaring di tepi bangkai rakannya seolah-olah ia bersedia untuk menerkam burung gagak menyebabkan haiwan berkenaan melupakan hasrat untuk memakannya. - Agensi

Sumber : Kosmo Online [28/4/2010]

p/s ; nilai yg hebat..jiwa makhluk bernama haiwan kadang-kadang lebih luar biasa dari manusia..harus dikaji bagaimana elemen ini wujud. Fikir-fikirkan...

Tuesday, April 27, 2010

Seks ubat darah tinggi

RIO DE JANEIRO: Menteri Kesihatan Brazil mempunyai penyelesaian terhadap masalah penyakit darah tinggi yang dihidap kebanyakan rakyat negara itu - lebih banyak seks.

Jose Temporao berkata, orang dewasa perlu banyak melakukan senaman untuk menurunkan tekanan darah mereka.

Menurutnya, antara senaman yang baik untuk jantung, termasuklah seks.

Dia juga mengesyorkan menari, amalan pemakanan yang sihat sebagai cara mengatasi penyakit itu.

Temporao berkata demikian ketika melancarkan kempen peringkat kebangsaan memerangi darah tinggi di Brasilia.

Menurut Kementerian Kesihatan, 24.4 peratus penduduk Brazil menghidap darah tinggi tahun lalu. - AP

HM [28/4/2010]
p/s ; Brazil..

'Jutawan Lebanon' ditangkap khalwat



ROSLIN yang ditahan berkhalwat dengan Elie didakwa di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur semalam.



KUALA LUMPUR - Elie Yousef Najem yang mengaku seorang jutawan Lebanon sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila dia didakwa di Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam atas tuduhan berkhalwat dengan seorang wanita tempatan.

Dia yang berusia 50 tahun bersama pasangannya, Roslin Taha, 49, didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bilik bernombor 8804, Tingkat 8, Wisma Belia, Brickfields di sini pada pukul 3.45 petang kelmarin.


kos [28/4/2010]

p/s ; adakah setiap jutawan mempunyai sikap ini?..

Johor henti jual air kepada Singapura

JOHOR BAHRU - Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, Johor akan menghentikan penjualan air mentah dari sebuah loji di sini kepada Singapura apabila perjanjian mengenainya tamat tahun depan.

Katanya, perjanjian itu melibatkan penjualan air dari Loji Skudai yang diuruskan oleh syarikat Public Utilities Board (PUB) Singapura.

"Sekarang ini di peringkat rundingan untuk pulangkan (Loji Skudai kepada kerajaan Johor)," katanya pada sidang akhbar sempena lawatan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) di sini semalam.

Kos [28/4/2010]
p/s ; adakah benar khbar yg menyatakan abhawa Singapore sanggup bperang dengan malaysia demi kerana AIR?..

Suhu makin meningkat di Malaysia

KUALA LUMPUR - Analisis rekod suhu di Malaysia menunjukkan trend pemanasan yang konsisten dengan trend pemanasan suhu global dan pemerhatian terkini mendapati suhu purata negara meningkat sebanyak 1.1 darjah Celsius dalam masa 50 tahun lepas.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Douglas Uggah Embas berkata, pemerhatian terkini juga mendapati paras laut pula meningkat pada kadar purata 1.25 milimeter setahun.

"Berdasarkan climate modelling yang dilakukan bagi tempoh 100 tahun akan datang, suhu dijangka meningkat antara +0.7 darjah Celsius hingga +2.6 darjah Celsius," katanya ketika menjawab soalan Senator Dr. Syed Husin Ali di Dewan Negara semalam.

Kos [28/4/2010]
p/s ; padanpunnnn....

Pendidikan seks tidak diajar di sekolah




KUALA LUMPUR - Mata pelajaran pendidikan seks tidak akan diajar di sekolah, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi (gambar).

Beliau berkata, subjek tersebut yang juga dikenali sebagai pendidikan kesihatan reproduktif telah dimasukkan dalam mata pelajaran pendidikan kesihatan dan subjek lain seperti biologi, sains, sains tambahan, pendidikan moral dan pendidikan Islam.

Justeru, katanya, kementerian dalam memantapkan pengajaran guru dalam subjek pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial telah membuat persedian untuk melatih guru-guru di sekolah menengah dan rendah menjadi Jurulatih Utama (JU) di peringkat kebangsaan dan mereka ini akan melatih guru-guru di peringkat negeri.

Kos [28/4/2010]

p/s ; seperti yang selalu difikirkan :-)

Bahtera Nabi Nuh ditemui


PEGAWAI Turki, Murat Guven menunjukkan spesimen kayu berusia 4,800 tahun yang didakwa tinggalan bahtera Nabi Nuh.


HONG KONG - Sekumpulan penjelajah China dan Turki kelmarin mendakwa mereka mungkin telah menemui bahtera Nabi Nuh pada ketinggian 4,000 meter di sebuah lereng curam di Gunung Ararat, timur Turki.

Jurucakap pasukan berkenaan memberitahu, beberapa binaan kayu yang mereka temui di lokasi itu didapati berusia 4,800 tahun berdasarkan ujian penentuan tarikh karbon iaitu sama usianya dengan zaman banjir besar pada era Nabi Nuh.

"Penemuan ini bukan mengesahkan 100 peratus bahawa ia bahtera Nabi Nuh tetapi kami yakin ia 99.9 peratus adalah bahtera itu," kata seorang anggota pasukan penjelajah, Yeung Wing-cheung.

Menurutnya, binaan kayu itu dibahagikan kepada beberapa petak, sebahagiannya memiliki rasuk kayu yang dipercayai digunakan untuk menempatkan sejumlah haiwan dalam bahtera itu.

Kos [28/4/2010]
p/s ; Kisah Nabi Nuh..

Curang punca puteri Sweden berpisah


Puteri Madeleine dan Jonas Bergstrom.


STOCKHOLM - Pendedahan terperinci yang dibuat oleh seorang pelajar perempuan di sebuah universiti, Tora Uppstrom Berg yang pernah menjalin hubungan seks dengan tunang lelaki anak perempuan Raja Carl XVI yang memerintah Sweden di sebuah majalah memberi padah yang besar, lapor sebuah akhbar semalam.

Pendedahan itu menyebabkan pihak istana membuat pengumuman menamatkan pertunangan antara anak perempuan Raja Carl XVI, Puteri Madeline yang berumur 27 tahun dengan seorang peguam, Jonas Bergstrom yang telah menjalin hubunagn seks dengan pelajar wanita tersebut. 

Sebelum ini, peguam itu telah bertunang dengan puteri Sweden berkenaan selepas mereka bercinta selama lapan tahun.

Namun, bakal putera yang berusia 31 tahun itu telah berlaku curang dengan seorang pelajar fotografi di Arts University College pada satu percutian ski bersama rakan-rakannya.

Pelajar wanita yang berumur 21 tahun itu mendakwa dia telah mengadakan hubungan seks dengan tunang Puteri Madeline itu.

Hubungan seks itu berlaku di sebuah resort ski eksklusif di Sweden setelah mereka bertemu di sebuah kelab malam.

Selepas pengakuan pelajar itu yang merupakan bintang bola baling Norway kepada sebuah majalah, istana diraja Sweden telah mengumumkan bahawa pertunangan pasangan itu telah ditamatkan.

"Saya mempunyai hubungan sulit dengan tunang Puteri Madeleine. Kami sangat mesra dan dia mengikut saya pulang dengan teksi pada pukul empat pagi.

"Jika saya tahu (dia tunang Puteri Madeline), saya tidak akan melakukannya. Saya berasa kasihan kepada Puteri Madeleine kerana dia mempunyai teman lelaki yang curang," kata pelajar wanita berkenaan.

Puteri Madeleine telah berlepas dengan menaiki pesawat ke New York bagi memenangkan fikiran apabila mengetahui mengenai berita mengenai kecurangan tunangnya itu.

"Saya tidak dapat menjangka ia akan berlaku dan saya kesal menceritakan skandal ini. Saya rasa bersalah kepada Puteri Madeleine," kata pelajar tersebut. - Agensi

Kos [27/4/2010]

p/s ; bukti lelaki memang tak pernah cukup/puas :-)

Monday, April 26, 2010

Yakin prospek bidang penyiaran




SYAFIKA Mohd. Ghazi, 20, atau mesra dipanggil Ika ini menyimpan keinginan untuk bergelar Jurutera Bioperubatan satu hari nanti, lebih-lebih lagi selepas dia memperoleh keputusan 6A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Maktab Rendah Sains Mara Serting (MRSM), Negeri Sembilan.

Impian bergelar jurutera disambut baik oleh ayahnya dan selepas itu, anak keempat daripada lima beradik itu menerima pula tawaran belajar di Kolej Matrikulasi Arau, Perlis.

Namun, minat seseorang boleh bertukar apabila seseorang itu banyak melibatkan diri dalam pelbagai bidang. Dari situ kecenderungannya terbentuk.

"Semasa saya di semester dua, kolej matrikulasi menganjurkan pertandingan mencipta video pendek. Saya terpanggil untuk menyertainya walaupun ketika itu saya sedang dalam minggu belajar," katanya yang menyertai pertandingan itu bersama kawannya, Anis Ismail.

Sejak itu, menurut Syafika, dia mulai sedar minat sebenarnya adalah di bidang penyiaran. GenK bertanyakan soalan buat Syafika tentang minatnya itu:

GenK: Bolehkah Syafika cerita bagaimana minat ke arah penyiaran itu timbul?

SYAFIKA: Sejak saya belajar di MRSM lagi minat ke arah penyiaran itu sudah ada, tetapi tidak begitu kuat. Ketika itu, saya merupakan ahli sidang redaksi majalah sekolah dan pernah menghasilkan video sekolah. 

Namun, selepas masuk matrikulasi dan menyertai pertandingan mereka cipta video, minat ke arah bidang penyiaran semakin menjadi-jadi.

Lebih-lebih lagi selepas saya berjaya mewakili kolej dalam pertandingan mereka cipta video 60 Second Video Challenge itu. Saya bersungguh-sungguh menghasilkan video terbaik walaupun peralatan yang digunakan tidak begitu canggih. 

Biarpun tidak menang, tetapi saya sedar minat dan keinginan sebenar saya lebih kepada bidang penyiaran. Semasa di matrikulasi juga, saya banyak menganjurkan majlis dan pernah menjadi pengarah teater.




Apakah langkah Syafika selepas itu?

Selepas habis matrikulasi dengan CGPA 3.18, saya berbincang dengan ayah mengenai minat ke arah bidang penyiaran tetapi ditentang olehnya. Saya tetap dengan keputusan dan memohon bidang penyiaran di universiti. 

Selepas memperoleh bidang Komunikasi yang menjurus kepada penyiaran di Universiti Putra Malaysia (UPM), ayah tetap nekad untuk menghantar saya belajar di Australia dalam bidang kejuruteraan. Saya terus memujuknya dan akhirnya ayah merestui.

Apakah keistimewaan bidang penyiaran?

Bagi saya bidang penyiaran banyak keistimewaannya. Saya belajar mengenai penulisan skrip di bawah pensyarah Dr. Megat Al Imran Yasin. Saya belajar membuat pengumuman perkhidmatan awam di radio mahupun di kaca televisyen. 

Saya belajar suntingan visual, teknik mengendalikan kamera dan proses penghasilan cerita yang menarik.

Selain bidang penyiaran. apakah minat anda yang lain?

Saya suka melancong. Minat melancong timbul selepas beberapa kali mengikut ayah berkonvoi dengan pemilik kereta pacuan empat roda ke Thailand, Kemboja, Vietnam dan Laos. 

Apakah pengalaman yang paling Syafika tidak boleh lupakan?

Pengalaman di UPM merupakan pengalaman manis buat saya kerana minat dalam bidang penyiaran difokuskan di sini. Salah satunya ialah Program Latihan Amali Penyiaran Digital dan Filem. Terkini, saya menyertai Merdeka Award Video Competition

Saya juga berpeluang melihat sendiri bagaimana produksi sebenar dijalankan ketika mengikuti lawatan ke Radio Televisyen Malaysia (RTM), Astro dan Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3).

Kos April 2010
p/s ; hebat..

Tidur ubat paling mujarab




"SAYA pernah hampir terlibat dalam kemalangan ketika memandu pulang ke kampung kerana mengantuk. 

"Saya juga kerap bermimpi seperti lemas dan tiba-tiba terbangun," ujar Zulfikar Ali Bhatto Mohd. Sidik menceritakan masalah mengantuk yang dihadapinya.

Pada awalnya dia menyangka fenomena itu disebabkan dia kurang vitamin dan tidal bersenam. Namun, pemeriksaan doktor mendapati Zulfikar Ali menghidap sleep apnea (nafas terhenti ketika tidur) hingga kualiti tidurnya berada pada paras 30 peratus sahaja.

Dia sering terjaga secara tiba-tiba disebabkan otaknya telah memberikan signal supaya bangun. Jika tidak, keadaan itu boleh menyebabkan maut kerana nafas berhenti untuk tempoh yang lama.

Bagi mengatasi masalah itu, doktor menasihatkan Zulfikar supaya menjalani pembedahan.

Namun, memandangkan Zulfikar mempunyai masalah tonsil, doktor menyarankannya menggunakan mesin tekanan laluan udara positif berterusan (CPAP) berharga antara RM5,000 hingga RM8,000 bagi membolehkannya mendapat tidur yang berkualiti.




Zul'Aida Zulkifli, 27, pula memberitahu dia baru sahaja mengalami gangguan tidur sejak bulan lalu kerana tekanan bekerja.

"Walaupun mengantuk, saya tidak boleh tidur. Pukul 5.30 pagi baru saya dapat melelapkan mata tetapi kemudian terpaksa bangun pada 7 pagi dan bersiap-siap ke tempat kerja.

"Keadaan itu menyebabkan saya sentiasa sakit kepala selama satu jam sebaik bangun daripada tidur. Pernah juga terdetik untuk mengambil pil tidur bagi mengatasi masalah ini tapi khuatir ia akan mendatangkan kesan sampingan pada badan saya kelak" katanya.

Sepanjang berjaga, Zul'Aida menghabiskan masa dengan membaca buku, melayari Internet dan menonton televisyen.

Tidur merupakan satu-satunya waktu privasi untuk merehatkan badan dan minda. Ia juga satu keperluan asas biologi manusia.

Seseorang yang tidak mempunyai waktu tidur yang men cukupi cenderung untuk mengantuk.

Mengantuk bukan sahaja terjadi berikutan waktu tidur tidak mencukupi malah disebabkan gangguan tidur yang dialami oleh seseorang individu.

"Waktu tidur paling optimum ialah enam jam hingga lapan jam sehari bagi mengelakkan rasa mengantuk. 

"Jika seseorang itu masih rasa mengantuk, mungkin ada sesuatu yang tidak kena," kata Pakar Perunding Kanan Neurologi, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) Prof. Datuk Dr. Raymond Azman Ali.

Lebih segar

Secara biologinya manusia mempunyai lima peringkat tidur. Peringkat satu hingga peringkat empat dipanggil tidur tanpa gerak mata cepat (NREM) dan peringkat lima dipanggil tidur gerak mata cepat (REM). Ketika REM, mata bergerak-gerak seolah-olah mengikut imej-imej dalam mimpi kita.
Manusia memerlukan tiga hingga empat tahap untuk tidur nyenyak supaya lebih segar apabila bangun daripada tidur.


SLEEP apnea pula berlaku apabila seseorang itu berhenti bernafas ketika tidur.


Tambahnya, ketika peringkat REM, otot-otot badan menjadi kendur. Keadaan ini menyebabkan seseorang itu berdengkur kerana lidah jatuh ke belakang dan anak tekak bergetar.

Selain otot kendur, seseorang itu akan mengalami mimpi dan gelisah kerana ketika peringkat REM, banyak perubahan fisiologi dalam tubuh berlaku.

"Pada peringkat satu, seseorang itu akan berasa mamai dan hampir tidur. Contohnya ketika khutbah solat Jumaat dan solat Tarawih, seseorang itu akan tersengguk-sengguk manakala peringkat dua pula dikategorikan sebagai tidur yang ringan.

"Tidur mula nyenyak apabila mencapai peringkat tidur tiga dan empat. Pada masa ini, elektroencefalogram (EEG) yang digunakan untuk mengesan tahap tidur mendapati gelombang otak perlahan," ujarnya.

Beliau memberitahu, waktu tidur yang sepatutnya tidak semestinya pada waktu malam kerana ia mungkin terjadi pada siang hari, bergantung kepada tubuh badan seseorang.

Katanya, kerja mengikut syif tidak bagus kerana seseorang itu perlu bekerja seminggu pada waktu malam dan minggu berikutnya pada waktu siang.

Keadaan itu menyebabkan otak menjadi tertekan. Badan menjadi penat, lesu, murung dan sebagainya sehingga mengganggu fisiologi badan.

Keperluan tidur untuk orang dewasa adalah di antara enam hingga lapan jam. Jika jumlah tersebut kurang, seseorang itu akan mengantuk dan jika jumlah tidur melebihi 12 jam ia boleh mencetuskan sakit kepala dan otak jadi malas (tidak cerdas).

PH darah lebih berasid pada waktu malam berikutan penambahan karbon dioksida dalam badan.

Kemalangan

Adakah kemalangan yang berlaku pada dinihari di lebuh raya berpunca daripada mengantuk?

"Pemandu mengantuk adalah salah satu faktornya selain keadaan lebuh raya yang lurus agak membosankan sehingga pemandu memandu sambil lewa.


RAWATAN tradisional akupuntur boleh dicuba bagi mengatasi masalah tidur.


"Sebaiknya jika seseorang mahu memandu jauh pada waktu dinihari, sebaiknya latih diri seminggu lebih awal supaya tubuh dapat menyesuaikan keadaan," jelasnya kopi dan mengunyah gula-gula tidak membantu seseorang mengatasi rasa mengantuk.

Penawar terbaik untuk hilang mengantuk ialah tidur selain mendapat rehat yang mencukupi. Akibat tidak cukup tidur seseorang akan cepat letih, cepat marah, mengantuk dan kurang konsisten manakala pengeluaran hormon stres dan steroid semula jadi meningkat.

Seseorang yang mengantuk pada siang hari disebabkan tidak mendapat cukup tidur pada waktu malam atas beberapa faktor iaitu atas pilihan sendiri, kemurungan, serangan epilepsi, mengalami gangguan tidur NREM dan REM, sleep apnea dan fatal famillia insomnia.

Raymond memberitahu serangan epilepsi pada waktu malam yang dipanggil sebagai nokturnal epilepsi kerap tidak dapat dikesan dan ia hanya meninggalkan tanda-tanda seperti lenguh otot, sakit kepala, darah pada bantal akibat tergigit lidah, terkencing dan keliru.

"Bagi gangguan tidur NREM yang biasanya dialami oleh orang muda, mereka cenderung berjalan dan bercakap ketika tidur yang mengganggu lena menyebabkan seseorang itu mengantuk pada siang hari.

"Orang tua yang kerap mengalami gangguan peringkat REM, kaki mereka tidak akan berhenti bergerak seolah menendang-nendang," katanya.


MENGANTUK sering dikaitkan sebagai punca kemalangan.


Sleep apnea pula berlaku apabila seseorang itu berhenti bernafas ketika tidur. Apabila bangun, mereka tersedak dan tercekik untuk bernafas.

Keadaan tersebut kerap berlaku pada lelaki dewasa berusia 40 tahun ke atas, gemuk, berleher pendek, dagu kecil, lidah besar dan tebal manakala anak tekak bengkak dan panjang.

Fatal famillia insomnia pula adalah sejenis penyakit keturunan yang berlaku akibat bahagian hipotalamus di dalam otak rosak kerana dimasuki sejenis protein (prion), menyebabkan seseorang itu tidak tidur waktu malam dan siang.

"Mereka yang mengalami masalah ini hanya rasa mengantuk sekejap-sekejap. Penyakit ini berlanjutan selama beberapa tahun sebelum membawa maut kepada semua penghidap. 

Antara ubat-ubatan yang boleh menyebabkan rasa mengantuk pada siang hari ialah ubat selesema, ubat epilepsi dan sesetengah antibiotik.

"Selain itu ada juga yang mengalami penyakit senang tidur waktu siang. Penyakit ini disebabkan beberapa faktor iaitu kegagalan organ dan narkolepsi," katanya.

Kegagalan organ

Jelasnya, contoh kegagalan organ yang sering dialami seseorang pesakit ialah ginjal, hepar, jantung dan paru-paru. Waktu tidur mereka yang mengalaminya terbalik daripada sepatutnya.




Narkolepsi pula disebabkan genetik yang dominan dan amat jarang berlaku. Penghidap narkolepsi akan tertidur secara tiba-tiba di antara satu minit hingga lima minit.

"Peringkat tidur mereka tidak bermula dengan peringkat satu tetapi terus memasuki peringkat lima atau mencapai REM dengan cepat iaitu kurang daripada 10 minit jika dibandingkan tempoh normalnya beberapa jam.

"Sejenis ubat perangsang bentuk kimianya mirip enfatamin akan diberikan pada siang hari. 

"Ubat ini amat dikawal pengeluarannya oleh doktor kerana khuatir berlaku penyalahgunaan. Penghidapnya juga dilarang memandu," jelasnya.

Selain itu, Raymond memberitahu penyakit bagi kebanyakan orang yang tidak boleh tidur ialah insomnia yang berpunca daripada tidak menjaga kesihatan tidurnya.

Kos April 2010
p/s ; ngantuk la pula....

Search This Blog

Featured Images