Monday, April 26, 2010

Yakin prospek bidang penyiaran




SYAFIKA Mohd. Ghazi, 20, atau mesra dipanggil Ika ini menyimpan keinginan untuk bergelar Jurutera Bioperubatan satu hari nanti, lebih-lebih lagi selepas dia memperoleh keputusan 6A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Maktab Rendah Sains Mara Serting (MRSM), Negeri Sembilan.

Impian bergelar jurutera disambut baik oleh ayahnya dan selepas itu, anak keempat daripada lima beradik itu menerima pula tawaran belajar di Kolej Matrikulasi Arau, Perlis.

Namun, minat seseorang boleh bertukar apabila seseorang itu banyak melibatkan diri dalam pelbagai bidang. Dari situ kecenderungannya terbentuk.

"Semasa saya di semester dua, kolej matrikulasi menganjurkan pertandingan mencipta video pendek. Saya terpanggil untuk menyertainya walaupun ketika itu saya sedang dalam minggu belajar," katanya yang menyertai pertandingan itu bersama kawannya, Anis Ismail.

Sejak itu, menurut Syafika, dia mulai sedar minat sebenarnya adalah di bidang penyiaran. GenK bertanyakan soalan buat Syafika tentang minatnya itu:

GenK: Bolehkah Syafika cerita bagaimana minat ke arah penyiaran itu timbul?

SYAFIKA: Sejak saya belajar di MRSM lagi minat ke arah penyiaran itu sudah ada, tetapi tidak begitu kuat. Ketika itu, saya merupakan ahli sidang redaksi majalah sekolah dan pernah menghasilkan video sekolah. 

Namun, selepas masuk matrikulasi dan menyertai pertandingan mereka cipta video, minat ke arah bidang penyiaran semakin menjadi-jadi.

Lebih-lebih lagi selepas saya berjaya mewakili kolej dalam pertandingan mereka cipta video 60 Second Video Challenge itu. Saya bersungguh-sungguh menghasilkan video terbaik walaupun peralatan yang digunakan tidak begitu canggih. 

Biarpun tidak menang, tetapi saya sedar minat dan keinginan sebenar saya lebih kepada bidang penyiaran. Semasa di matrikulasi juga, saya banyak menganjurkan majlis dan pernah menjadi pengarah teater.




Apakah langkah Syafika selepas itu?

Selepas habis matrikulasi dengan CGPA 3.18, saya berbincang dengan ayah mengenai minat ke arah bidang penyiaran tetapi ditentang olehnya. Saya tetap dengan keputusan dan memohon bidang penyiaran di universiti. 

Selepas memperoleh bidang Komunikasi yang menjurus kepada penyiaran di Universiti Putra Malaysia (UPM), ayah tetap nekad untuk menghantar saya belajar di Australia dalam bidang kejuruteraan. Saya terus memujuknya dan akhirnya ayah merestui.

Apakah keistimewaan bidang penyiaran?

Bagi saya bidang penyiaran banyak keistimewaannya. Saya belajar mengenai penulisan skrip di bawah pensyarah Dr. Megat Al Imran Yasin. Saya belajar membuat pengumuman perkhidmatan awam di radio mahupun di kaca televisyen. 

Saya belajar suntingan visual, teknik mengendalikan kamera dan proses penghasilan cerita yang menarik.

Selain bidang penyiaran. apakah minat anda yang lain?

Saya suka melancong. Minat melancong timbul selepas beberapa kali mengikut ayah berkonvoi dengan pemilik kereta pacuan empat roda ke Thailand, Kemboja, Vietnam dan Laos. 

Apakah pengalaman yang paling Syafika tidak boleh lupakan?

Pengalaman di UPM merupakan pengalaman manis buat saya kerana minat dalam bidang penyiaran difokuskan di sini. Salah satunya ialah Program Latihan Amali Penyiaran Digital dan Filem. Terkini, saya menyertai Merdeka Award Video Competition

Saya juga berpeluang melihat sendiri bagaimana produksi sebenar dijalankan ketika mengikuti lawatan ke Radio Televisyen Malaysia (RTM), Astro dan Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3).

Kos April 2010
p/s ; hebat..

No comments:

Post a Comment

Search This Blog

Featured Images