
KUALA LUMPUR - Pemungut hutang yang dilantik oleh institusi perbankan atau syarikat kewangan tertentu di negara ini tidak boleh menggunakan kekerasan dan sering mengganggu pemiutang ketika menjalankan tugas mereka.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chor Chee Heung berkata, perkara itu terkandung dalam garis panduan dan amalan pengutipan hutang yang adil yang perlu dipatuhi oleh setiap pemungut hutang yang dilantik.
"Institusi perbankan boleh menggunakan khidmat pemungut hutang, bagaimanapun, institusi itu perlu memastikan agar pemungut hutang yang dilantik mematuhi segala peraturan seperti yang ditetapkan dalam garis panduan yang diluluskan oleh Bank Negara," katanya menjawab soalan Senator Dr. M. Malasingam pada persidangan Dewan Negara di sini semalam.
Institusi kewangan lazimnya menggunakan perkhidmatan pemungut hutang hanya untuk menarik kenderaan yang pemiliknya gagal melunaskan pinjaman mereka.
Chee Heung berkata, selain tidak dibenar menggunakan kekerasan dan mengganggu pemiutang, pemungut hutang perlu sentiasa mengamalkan tingkah laku yang beretika serta tidak dibenar membuat panggilan lebih tiga kali seminggu kepada pemiutang.
"Ini selaras dengan usaha Bank Negara untuk memperkukuhkan lagi struktur pelindungan serta tahap profesionalisme proses pengutipan hutang," katanya.
No comments:
Post a Comment