Thursday, May 6, 2010

Kaki patah dipijak suami

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: Geram selepas menerima sepucuk surat daripada isteri yang meminta cerai, seorang suami bertindak kejam dengan memijak kaki wanita itu dengan but sehingga patah selain membelasahnya hingga cedera parah.

Berikutan penyeksaan itu, mangsa terpaksa dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh (HSB), dekat sini, untuk rawatan.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi berkata, perbuatan tidak berperikemanusiaan itu berlaku malam Sabtu lalu di rumah mangsa di Bukit Beruntung, dekat sini, selepas pasangan berkenaan bertengkar.

Menurutnya, suami terbabit mengesyaki isterinya mahu menuntut cerai kerana menjalinkan hubungan sulit dengan lelaki lain.

“Lelaki itu yang juga peniaga pasar malam berusia 51 tahun dikatakan gagal mengawal perasaan marah sebaik isterinya menyerahkan sepucuk surat yang mengandungi perkataan bermaksud untuk meminta cerai daripadanya,” katanya.

Menurutnya, lelaki berkenaan percaya isterinya yang berusia 33 tahun dan bekerja sebagai pembantu di sebuah pasar raya di Bukit Beruntung mahu menuntut cerai kerana mempunyai hubungan gelap dengan lelaki lain.

“Akibat cemburu dan marah, lelaki terbabit hilang pertimbangan lalu menendang serta membelasah isterinya sekuat hati. Mangsa dipijak dengan but dipakai suami selain kepalanya turut dihantuk dengan topi keledar menyebabkan wanita terbabit cedera parah.

“Isteri malang itu akhirnya terpaksa dihantar untuk rawatan ke HSB kerana cedera parah termasuk patah kaki,” katanya.

Beliau berkata, polis yang menerima laporan mengenai kejadian itu segera menjalankan siasatan sebelum menahan suami mangsa di rumahnya pada hari sama. 
 
Katanya, peniaga pasar malam itu ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Menurutnya, pasangan suami isteri berkenaan mempunyai tiga anak perempuan berusia enam hingga 11 tahun.

Kejadian keganasan rumah tangga terbabit kes jenayah terbaru selepas seorang jururawat berusia 40 tahun parah apabila kemaluannya ditoreh dengan pisau oleh suaminya yang mendakwa kononnya terdengar bisikan suara halus.

Dalam kejadian di Bertam Ulu, Melaka, kira-kira jam 10 pagi kelmarin, suspek dipercayai memeluk isterinya dari belakang sebelum merodok isterinya yang sedang memasak dengan pisau memotong buah-buahan. 

Suspek dikatakan bertindak sedemikian gara-gara mendengar bisikan suara halus yang mengatakan isterinya mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain.

Minggu lalu, seorang isteri maut selepas dibelasah suaminya yang tiba-tiba menyerang mangsa di sebuah rumah di Kuala Lipis, Pahang.

Difahamkan, mangsa, Rosmawati Abdul Rahman, 39, menemui ajal akibat kepalanya dihentak, selain perut, dada dan paha dipijak suaminya yang mendapat tahu kononnya mangsa berbual dengan lelaki lain menerusi telefon bimbit.

HM [6/5/2010]

p/s ; tdk cerai pn susah..minta cerai pn susah..lepaskan la klu sdh itu lebih baik untuknya..minta dijauhkan apa2 yg seperti ini dlm hidup..

No comments:

Post a Comment

Search This Blog

Featured Images