
Tali leher penyebab masalah kebutaan
Tali leher biasanya dipakai oleh lelaki yang berstatus tinggi atau ingin dipandang tinggi. Walaupun tali leher menjadi kelengkapan paling menarik bagi lelaki, namun ada juga yang tidak menyukainya dan menganggapnya tidak ubah seperti cawak (tali) yang diikat pada leher anjing.Kini terdapat beberapa kajian yang mendakwa tali leher boleh menyebabkan kebutaan. Menurut satu kajian yang diterbitkan dalam British Journal of Ophthalmology, pemakaian tali leher terlalu ketat meningkatkan tekanan intraokular (IOP) di dalam mata, dan boleh menyebabkan glaukoma.
Kajian itu memerhatikan 20 orang lelaki yang menghidap glaukoma dan 20 orang lagi yang tidak menghidapinya. Setiap subjek diukur IOPnya dengan kolar kemeja terbuka, kemudian diikat tali leher ke tahap "agak tidak selesa".
Selepas tiga minit, mereka mengukur IOP subjek sekali lagi. Kemudian tali leher dilonggarkan dan menunggu selama tiga minit lagi, dan IOP subjek diukur buat kali ketiga. Hasilnya? 60% daripada mereka yang menghidap glaukoma mengalami peningkatan IOP apabila bertali leher, dan 70% daripada pasakit normal juga mengalaminya. Melonggarkan tali leher menyebabkan IOP menurun dalam kebanyakan pesakit kedua-dua kumpulan.
Para penyelidik itu memberi amaran, tali leher yang ketat boleh menyebabkan diagnosis perubatan yang tidak tepat. Apabila tali leher terlalu menekan vena jugular dalam leher, seluruh sistem vena turut tertekan. Ini menyebabkan doktor mendiagnosa anda mengalami hipertensi okular atau glaukoma padahal anda tidak menghidapnya jika anda memakai tali leher ketika menjalani pemeriksaan.
Tali Leher Penyebar penyakit
Doktor yang bertali leher boleh mengancam kesihatan pesakit. Di Britain, doktor-doktor digesa supaya tidak bertali leher ketika bertugas di hospital kerana dikhuatiri akan merebakkan penyakit kepada pesakit.Menurut laporan BBC News, sekumpulan ahli panel yang menghadiri persidangan Persatuan Perubatan British pada 2003 berkata, aksesori itu bukan saja tidak perlu malah berpotensi berbahaya dalam persekitaran hospital. Menurut panel terbabit, doktor boleh dijangkiti bakteria ketika melakukan pemeriksaan jika tali leher tersentuh kulit atau luka pesakit. Bakteria kemudian berpindah kepada pesakit lain.
Tali leher menyebabkan ancaman tercekik
Anda mungkin tercekik jika tali leher anda tersangkut pada laci, eskalator, pintu lif dan lain-lain benda bergerak yang berpotensi.Tali leher samalah seperti jerat. Apabila memakainya, anda bukannya membuat kenyataan mengenai fesyen, tetapi lebih kepada mencari nahas. Memakainya sambil berdiri berhampiran jentera atau kipas yang sedang berputar boleh mengundang padah.
Bebaskan diri
Purata lelaki Amerika memiliki 22 helai tali leher, lelaki British memiliki 17 helai, dan lelaki Australia 15 helai. Kenapa ia masih mendapat perhatian dalam fesyen lelaki?Tali leher moden telah wujud sejak 300 tahun yang lalu. Ia masih bertahan kerana lelaki mengikut tradisi menerimanya secara membuta tuli sebagai pakaian rasmi yang penting.
Asal usul tali leher bermula di zaman empayar Rom, di mana anggota Senat Rom terpaksa berucap dalam jangkamasa yang lama kepada ratusan penduduk. Untuk menahan kesejukan dan menekan peti suara, orang Rom melilit skaf yang digelar fascalia pada leher untuk memanaskan kerongkong dan sentiasa bersedia untuk berucap dengan panjang lebar.
Versi awal tali leher dipakai oleh pahlawan zaman pertengahan untuk mengelak pedang daripada sampai ke kerongkong. Kemudian beberapa orang lelaki mula menghiasi pelindung itu dengan beberapa lukisan menarik dan amalan itu mula tersebar kerana mereka cuba bersaing antara satu sama lain dengan fesyen terkini. Bagaimanapun di zaman moden, tali leher bukan saja tidak perlu malah membahayakan. Masalah tali leher pertama kali dikemukakan oleh Dr Walter G. Walford pada tahun 1917 dalam buku berjudul Dangers in Neckwear. Beliau menulis, tali leher yang ketat dan kolar berkanji menyebabkan kelemahan kerana pengaliran darah ke otak terhalang.
Tali leher adalah tidak praktikal. Anda mengambil masa kira-kira 10 saat untuk mengikat tali leher jika anda biasa mengenakannya. Gandakan angka itu dengan purata 3 kali seminggu bagi lebih 30 tahun, dan tambahkan dengan masa untuk mengikat tali leher.
Kot, kemeja, seluar dan kasut memberi perlindungan daripada elemen-elemen itu. Tali pinggang pula memastikan seluar berada di tempatnya dengan sempurna dan sarung kaki memberikan perlindungan untuk kaki. Tetapi tali leher adalah sekadar perhiasan yang tidak bermanfaat. Tali leher juga mahal harganya. Kenapakah anda sanggup mengorbankan keselesaan, kesihatan, keselamatan dan wang bagi sesuatu yang tidak perlu?
Dipetik dari ; http://www.maxx.my
No comments:
Post a Comment